Peningkatan kos sara hidup sinonim dengan kenaikan harga barang asas, perkhidmatan dan keperluan harian serta telah mengurangkan kuasa beli rakyat sekali gus melemahkan permintaan domestik.
Peningkatan kos sara hidup sinonim dengan kenaikan harga barang asas, perkhidmatan dan keperluan harian serta telah mengurangkan kuasa beli rakyat sekali gus melemahkan permintaan domestik.

Peningkatan kos sara hidup menjejaskan ekonomi Malaysia

08 Dec 2024 10:10am

Malaysia kini menghadapi cabaran besar dalam mengekang impak kos sara hidup yang semakin meningkat dan memberi kesan ketara kepada ekonomi negara.

Antara kesan-kesan inflasi adalah dari segi harga barang, tabungan, pendapatan. pengangguran, eksport dan kadar faedah.

Peningkatan kos sara hidup sinonim dengan kenaikan harga barang asas, perkhidmatan dan keperluan harian serta telah mengurangkan kuasa beli rakyat sekali gus melemahkan permintaan domestik.

Fenomena ini turut memberi tekanan kepada sektor perniagaan kecil dan sederhana yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.

Selain itu, kadar inflasi yang tinggi juga menjejaskan kestabilan ekonomi dengan meningkatkan kos operasi perniagaan, memaksa majikan menaikkan gaji pekerja atau mengurangkan tenaga kerja.

Dalam jangka masa panjang ini, ia boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan daya saing Malaysia di peringkat global dan menyukarkan usaha menarik pelaburan asing.

Kos sara hidup dan taraf hidup adalah dua perkataan yang saling berkait rapat antara satu sama lain.

Kos sara hidup adalah kos yang terpaksa ditanggung oleh isi rumah bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal tetapi juga keperluan-keperluan lain untuk keselesaan hidup.

Artikel Berkaitan:

Pendapatan yang diperoleh akan digunakan sepenuhnya untuk menyara kehidupan seisi keluarga.

Apabila pendapatan diperoleh tidak dapat menanggung kos sara hidup khususnya di bandar-bandar besar menyebabkan taraf hidup seseorang itu merosot dan secara tidak langsung menggugat kesejahteraan eknomi negara.

Kos kehidupan pada masa kini terus meningkat, didorong oleh kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan asas.

Keadaan ini diperburukkan lagi dengan kejatuhan nilai ringgit, yang mencecah RM4.71 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS), iaitu paras terendah tahun ini.

Situasi ini menjadi lebih kritikal selepas pandemik dengan tambahan faktor seperti peranan orang tengah atau kartel yang mengejar keuntungan berlebihan.

Kebergantungan kepada barangan import seperti gandum, bawang dan bijirin, menyebabkan pengguna terpaksa menanggung kos lebih tinggi untuk barangan tersebut.

Kejatuhan nilai ringgit

Menurut pakar ekonomi, Profesor Emiritus Dr Barjoyai Bardai, kejatuhan nilai ringgit dijangka memberikan kesan besar kepada harga makanan, memandangkan nilai import makanan telah mencapai RM70 bilion tahun ini.

Harga barang import menjadi lebih mahal kerana pengimport perlu membayar dalam dolar AS, mendorong kenaikan harga yang ditanggung pengguna.

Dari segi gaji rakyat dapat dilihat dalam Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah & Kemudahan Asas 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata pendapatan isi rumah bagi setiap kumpulan pendapatan telah dikemas kini.

Bagi golongan B40, purata pendapatan isi rumah adalah RM3,401 manakala bagi kumpulan M40, purata pendapatan adalah RM7,971.

Sementara itu, golongan T20 merekodkan purata pendapatan sebanyak RM19,752.

Data ini memberikan gambaran tentang agihan pendapatan isi rumah di Malaysia serta mencerminkan jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan.

Peningkatan kos sara hidup banyak memberi kesan kepada sektor ekonomi kerana ia mengurangkan kuasa beli pengguna sekali gus melemahkan permintaan domestik.

Apabila kos barang dan perkhidmatan asas meningkat, isi rumah terpaksa mengurangkan perbelanjaan ke atas barangan bukan keperluan seperti hiburan, rekreasi dan pelaburan yang menjadi pendorong utama kepada pertumbuhan ekonomi.

Kos operasi meningkat

Dalam sektor perniagaan, kos operasi meningkat kerana harga bahan mentah yang diimport lebih mahal akibat kelemahan nilai ringgit.

Ini mendorong syarikat untuk menaikkan harga produk mereka yang seterusnya menambah tekanan inflasi.

Perniagaan kecil dan sederhana yang sering kekurangan modal dan bergantung kepada rantaian bekalan tempatan, lebih terjejas, menyebabkan risiko penutupan atau pengurangan tenaga kerja meningkat.

Di peringkat makroekonomi, kenaikan kos sara hidup juga boleh mempengaruhi pelaburan.

Pelabur mungkin kehilangan keyakinan terhadap pasaran domestik apabila perbelanjaan pengguna berkurangan, dan kos import terus melonjak.

Selain itu, peningkatan kadar inflasi memaksa bank pusat untuk menaikkan kadar faedah, yang menambah kos kepada peminjam dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi.

Kerajaan perlu mengambil tindakan strategik untuk menstabilkan harga barang, mengurangkan kebergantungan kepada import dan memperkukuh daya tahan sektor ekonomi tempatan untuk menghadapi cabaran kos sara hidup yang terus meningkat.

Isu peningkatan kos sara hidup ini boleh dikurangkan dengan tindakan kerajaan yang bersasar dan berkesan.

Salah satu langkah yang boleh diambil adalah dengan memperkenalkan subsidi bersasar di mana bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti isi rumah dalam kategori B40.

Subsidi ini dapat mengurangkan beban kewangan mereka yang terjejas akibat kenaikan harga barang asas.

Contohnya subsidi minyak, gas dan makanan boleh membantu meringankan kos hidup harian.

Kawalan harga

Selain itu, kerajaan juga boleh melaksanakan kawalan harga ke atas barangan penting, seperti makanan, bahan bakar dan perkhidmatan asas untuk mengelakkan kenaikan harga yang mendadak.

Program-program seperti ini boleh memberi kestabilan harga di pasaran dan mengelakkan spekulasi atau tindakan kartel yang menindas pengguna.

Pemeriksaan dan penguatkuasaan lebih ketat terhadap aktiviti orang tengah yang meningkatkan harga juga dapat mengurangkan kesan negatif kepada pengguna.

Kerajaan juga boleh memperkenalkan dasar-dasar yang mempromosikan pengeluaran dan penghasilan barangan domestik, supaya negara tidak terlalu bergantung kepada import yang terdedah kepada fluktuasi harga global.

Inisiatif seperti ini bukan sahaja dapat memastikan bekalan barangan yang lebih stabil, tetapi juga dapat merangsang pertumbuhan sektor pertanian dan pembuatan tempatan.

Selain itu, meningkatkan kebolehcapaian kepada pendidikan dan latihan kemahiran untuk golongan muda dapat membantu mereka memperoleh pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan daya tahan kewangan keluarga.

Kerajaan juga boleh menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau geran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mereka dapat mengembangkan perniagaan dan menampung kos yang meningkat.

Langkah-langkah ini perlu disertai dengan pemantauan yang berterusan dan penyesuaian dasar yang sesuai mengikut keadaan ekonomi semasa bagi memastikan rakyat dapat bertahan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Dasar yang bersifat menyeluruh

Secara keseluruhan, isu peningkatan kos sara hidup ini dapat dikawal jika kerajaan dan masyarakat sama-sama peka dan bertindak bijak dalam menangani masalah ini.

Kerajaan perlu terus melaksanakan dasar yang bersifat menyeluruh seperti subsidi bersasar, kawalan harga barangan asas dan sokongan kepada sektor perniagaan tempatan.

Di samping itu, masyarakat juga perlu lebih berwaspada dalam pengurusan kewangan peribadi, dengan mengutamakan perbelanjaan yang lebih bijak serta berusaha meningkatkan pendapatan melalui pendidikan dan kemahiran.

Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat amat penting untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dengan pendekatan yang proaktif dan responsif terhadap cabaran kos sara hidup, diharapkan keadaan ini dapat ditangani secara berkesan demi masa depan ekonomi yang lebih stabil dan mampan.

Maklumat Penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian & Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nur Rabiatul Adawiyah Mohd Shahermy

2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp