Sokongan kerajaan terhadap usahawan tempatan: Mampukah mengurangkan pengangguran?
Keusahawanan adalah tunjang kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
Selain membantu memperkukuhkan ekonomi, keusahawanan juga memainkan peranan besar dalam menangani masalah sosial seperti pengangguran.
Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030, kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar dan inisiatif untuk memacu pembangunan keusahawanan tempatan.
Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia, pernah menyatakan bahawa pembentukan masyarakat berpemikiran keusahawanan adalah asas penting dalam mencapai visi negara.
Kenyataan ini mencerminkan kepentingan usaha bersepadu bagi menggalakkan keusahawanan dalam kalangan rakyat. Persoalan utama ialah sejauh mana usaha ini mampu mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.
Sebagai langkah strategi kerajaan, melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) telah menyediakan kerangka pembangunan keusahawanan yang menyeluruh.
Dasar ini bertujuan meningkatkan daya saing usahawan tempatan melalui tujuh teras utama yang meliputi aspek seperti penstrukturan ekosistem perniagaan dan pengintegrasian teknologi digital ke dalam operasi perniagaan.
Fokus utama dasar ini adalah mempersiapkan usahawan menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, sebuah fenomena global yang mengubah landskap perniagaan melalui inovasi dan automasi.
Teras pertama DKN 2030 menekankan pentingnya penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri untuk menyediakan persekitaran yang kondusif kepada usahawan.
Penekanan terhadap teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) membolehkan usahawan tempatan meningkatkan kecekapan operasi dan bersaing di peringkat global.
Dengan pendekatan ini, usahawan dapat menjangkau pasaran yang lebih luas, mencipta peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran.
Revolusi Industri 4.0 membuka pintu kepada pelbagai peluang baharu dalam ekonomi digital. Dengan sokongan kerajaan, usahawan kecil dan sederhana (PKS) kini mempunyai akses kepada platform digital seperti e-dagang, teknologi kewangan (fintech) dan pembangunan aplikasi.
Platform seperti Shopee, Lazada dan Grab memberi ruang kepada usahawan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka secara global.
Kerajaan turut menyediakan geran dan insentif untuk memastikan usahawan dapat mengadaptasi teknologi baharu dengan cepat.
Sebagai contoh, geran automasi digital membantu usahawan kecil membeli peralatan yang dapat meningkatkan kecekapan operasi. Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemilik perniagaan tetapi turut mencipta peluang pekerjaan baharu dalam bidang seperti pemasaran digital, pengurusan logistik dan pembangunan perisian.
Golongan belia, khususnya graduan yang masih menganggur, boleh memanfaatkan peluang ini untuk memulakan kerjaya dalam sektor ekonomi digital.
Dengan latihan dan sokongan yang betul, golongan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran mereka tetapi juga memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam memastikan kejayaan dasar yang diperkenalkan, kerajaan telah mengaktifkan beberapa agensi utama seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
MARA terkenal dengan pelbagai program pembangunan keusahawanan yang meliputi aspek latihan, pembiayaan dan sokongan perniagaan. Salah satu program popular ialah Program Latihan Keusahawanan MARA, yang memberi pengetahuan praktikal tentang strategi pemasaran, pengurusan kewangan dan operasi perniagaan.
PUNB pula memberi fokus kepada pembiayaan dan pembangunan kemahiran keusahawanan dalam kalangan Bumiputera. Agensi ini menawarkan pakej kewangan yang fleksibel dan latihan intensif untuk memastikan usahawan bukan sahaja mampu memulakan perniagaan tetapi juga mengembangkan operasi mereka secara berdaya saing.
Menurut laporan MyGovernment, inisiatif seperti ini telah memberi impak positif kepada ribuan individu, terutama belia yang berminat dalam sektor keusahawanan tetapi kekurangan modal dan bimbingan.
Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan penyertaan dalam keusahawanan tetapi juga menyumbang kepada pengurangan kadar pengangguran melalui penciptaan peluang pekerjaan baharu.
Sebagai contoh, individu yang berjaya memulakan perniagaan sering kali memerlukan tenaga kerja tambahan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.
Walaupun pelbagai sokongan diberikan, usahawan tempatan masih menghadapi beberapa cabaran kritikal. Kekangan modal adalah isu utama yang sering menghalang usahawan kecil daripada berkembang.
Walaupun terdapat banyak skim bantuan kewangan, prosedur permohonan yang rumit dan syarat yang ketat boleh menjadi penghalang.
Selain itu, persaingan sengit daripada produk import yang lebih murah dan berkualiti tinggi menambah tekanan kepada usahawan tempatan.
Dalam sesetengah industri, produk tempatan sukar menandingi produk import yang telah lama bertapak di pasaran. Kekurangan kemahiran dalam kalangan usahawan juga menjadi cabaran pada masa kini.
Ramai usahawan kecil tidak mempunyai pengetahuan teknikal yang mencukupi untuk mengendalikan teknologi baharu atau memahami strategi perniagaan moden.
Kerajaan perlu memperkasakan program latihan dan bimbingan yang lebih menyeluruh untuk mengatasi cabaran ini.
Pada masa yang sama, usahawan juga perlu mengambil inisiatif untuk meningkatkan kemahiran mereka dengan memanfaatkan sumber yang tersedia.
Keusahawanan telah terbukti sebagai salah satu cara yang paling berkesan untuk menangani pengangguran. Kajian menunjukkan bahawa di negara-negara membangun, sektor kecil dan sederhana (PKS) memainkan peranan besar dalam mencipta peluang pekerjaan baharu.
Di Malaysia, sektor ini menyumbang lebih daripada 30% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan pekerjaan kepada berjuta-juta rakyat.
Dalam konteks pengurangan pengangguran, keusahawanan bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang memulakan perniagaan tetapi juga kepada pekerja yang diambil untuk membantu operasi perniagaan.
Contohnya, sektor makanan dan minuman sering menjadi pilihan usahawan baharu kerana permintaan pasaran yang berterusan.
Di kawasan luar bandar, usahawan kecil memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi setempat dan menawarkan pekerjaan kepada penduduk tempatan yang sebelum ini bergantung kepada sektor tradisional seperti pertanian.
Selain itu, industri baharu seperti perkhidmatan penghantaran, pembangunan aplikasi mudah alih dan perniagaan dalam talian turut membuka peluang kepada golongan muda yang lebih berorientasikan teknologi.
Dengan lebih ramai individu menceburi bidang keusahawanan, kadar pengangguran dapat dikurangkan secara signifikan.
Akhir sekali, sokongan kerajaan terhadap usahawan tempatan adalah langkah strategik dalam membangunkan ekonomi negara dan menangani masalah pengangguran.
Hal ini kerana melalui pelaksanaan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 serta inisiatif daripada agensi seperti MARA dan PUNB, kerajaan telah membuka jalan kepada golongan usahawan untuk mencipta pekerjaan baharu dan meningkatkan daya saing mereka.
Namun, kejayaan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak. Kerajaan perlu terus menilai dan memperbaiki dasar sedia ada, manakala usahawan pula harus proaktif dalam memanfaatkan peluang yang tersedia.
Keusahawanan bukan sekadar satu cara untuk mencari rezeki tetapi juga satu alat penting dalam membina masa depan negara.
Dengan langkah yang efektif, Malaysia berpotensi besar untuk menjadi sebuah negara keusahawanan unggul menjelang 2030 sekali gus mengurangkan kadar pengangguran secara menyeluruh.
Maklumat penulis:
1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan
Kepujian dan Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia
(ECO4373), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ebby Qasriena Raziha
2) Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Dr Jaharudin Padli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my