No Image Caption

Suara generasi muda yang bebas namun rapuh

13 Jun 2025 08:30am

Dalam era digital ini, generasi muda di Malaysia semakin lantang dan terbuka dalam menyuarakan hak dan suara mereka dalam pelbagai isu di media sosial.

Mereka kini lebih berani menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap individu, organisasi dan juga pihak kerajaan. Media sosial telah menjadi ruang utama bagi golongan anak muda untuk meluahkan pendapat, berkongsi kisah peribadi serta menyebarkan gosip hangat.

Di Malaysia, kita amat menitikberatkan nilai hormat terhadap orang lain dalam masyarakat. Oleh itu, topik seperti politik, kesihatan mental dan jantina sering dianggap sebagai isu sensitif dan sukar untuk dibincangkan secara terbuka.

Namun begitu, media sosial telah memberi laluan baharu bagi anak-anak muda untuk bersuara, cara yang tidak semestinya mengikut norma tradisional.

Gerakan #Undi18 merupakan salah satu contoh yang jelas akan kekuatan generasi muda. Ramai pemuda Malaysia yang berasa kecewa kerana tidak dibenarkan mengundi sebelum usia 21 tahun, walaupun mereka sudah cukup umur untuk bekerja, membayar cukai dan juga terkesan dengan dasar negara.

Mereka percaya sekiranya umur kelayakan mengundi diturunkan kepada 18 tahun, suara mereka akan didengari.

Gerakan ini menarik perhatian ramai apabila sebilangan aktivis muda mula menggunakan platform mereka seperti TikTok, Instagram dan X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) untuk mendidik, menggerakkan dan membawa perubahan.

Pada 15 Disember 2021, usaha mereka membuahkan hasil apabila kerajaan secara rasminya menurunkan umur kelayakan mengundi dari umur 21 kepada 18 tahun. Kerajaan juga memperkenalkan Pendaftaran Pemilih Automatik (AVR), menjadikan lebih 4.5 juta pengundi baharu direkodkan.

Artikel Berkaitan:

Ia merupakan detik penting bagi demokrasi Malaysia. Suara golongan anak muda tidak lagi boleh dipandang remeh. Para pemimpin politik perlu mendengar suara generasi muda kerana mereka kini mempunyai kuasa untuk mengundi serta membawa perubahan.

Dengan perubahan ini, undi golongan anak muda kini penentu dalam politik negara. Mereka lebih cenderung dalam menumpukan isu seperti ketelusan, pendidikan, perubahan iklim dan keselamatan pekerjaan.

Hal ini demikian kerana, mereka adalah generasi yang sedang berdepan dengan semua isu ini. Oleh itu, mereka tidak gentar dan tegas dalam mengkritik politik bersifat “wayang” di media sosial.

Parti-parti politik kini mula menyesuaikan pendekatan mereka dan menyedari keperluan untuk berkomunikasi dalam ‘bahasa’ anak muda di platform seperti TikTok dan Instagram.

Namun begitu, usaha ini masih belum membuahkan hasil. Majoriti ahli politik dilihat sebagai terlalu tegas dan tidak relevan dan mereka menghadapi kesukaran untuk berinteraksi dengan golongan belia secara langsung.

Sebaliknya, pencipta kandungan dan aktivis sosial telah menjadi suara utama dalam menggunakan penceritaan kreatif, meme dan sketsa untuk menerangkan isu kompleks dengan cara yang lebih dekat dan mudah difahami.

Gerakan seperti #Undi18 membuktikan kekuatan generasi muda. Walau bagaimanapun, dalam menguruskan kekuatan ini, datang bersama-sama dengan tanggungjawab yang besar.

Semangat yang wujud di alam maya mesti diterjemah ke dalam tindakan dalam dunia sebenar untuk mengekalkan momentum perubahan. Memastikan pengundi muda yang baru berdaftar benar-benar keluar mengundi dan terus aktif dalam masyarakat merupakan satu cabaran yang besar. Tanpa pendidikan dan pemberdayaan yang berterusan, potensi jutaan pengundi baharu ini boleh menjadi sia-sia.

Golongan generasi muda mempunyai keupayaan untuk membina masyarakat yang lebih bijak, terbuka dan lebih baik lagi jika mereka diberi kebebasan bersuara dan bertindak.

Apabila anak muda diberi peluang untuk bercakap, berkongsi idea dan terlibat dalam proses membuat keputusan, mereka akan menyumbang kepada pembangunan sistem politik yang lebih baik dan demokrasi yang lebih utuh. Suara mereka wajar untuk didengari dan tidak patut diabaikan.

Golongan anak muda bukan sahaja masa depan Malaysia tetapi juga masa kini, dan peranan mereka adalah lebih penting daripada sebelumnya.
 

Maklumat penulis:

Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nursyaza Athirah Misnan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp