
Ketakutan digital menghalang suara generasi muda
Remaja merupakan antara pengguna paling aktif media sosial di Malaysia. Namun, dalam kebebasan yang luas terbuka di alam digital, timbul satu fenomena yang semakin membimbangkan ketakutan untuk bersuara secara terbuka.
Pemerhatian menunjukkan ramai remaja kini lebih selesa menjadi pemerhati pasif berbanding menyuarakan pandangan, khususnya dalam isu berkaitan politik, agama, perkauman dan institusi negara.
Ketakutan terhadap kecaman, pembatalan sosial (cancel culture), serta tindakan undang-undang menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada budaya diam ini.
Menurut pemerhatian, budaya pembatalan di media sosial mendorong pengguna menahan diri daripada menyuarakan pandangan peribadi, walaupun dengan niat baik.
Individu yang berkongsi pendapat berisiko menerima serangan peribadi, buli siber, dan penyebaran maklumat secara salah. Akibatnya, remaja lebih rela berdiam diri bagi mengelak tekanan emosi dan sosial yang tidak diingini.
Ketakutan ini turut dipengaruhi oleh kekangan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Walaupun digubal bagi menjaga keharmonian negara, remaja melihat potensi hukuman seperti denda dan penjara sebagai ancaman terhadap kebebasan bersuara mereka, terutama apabila tafsiran terhadap sesuatu kenyataan boleh dimanipulasi atau disalah erti.
Selain itu, kebimbangan terhadap jejak digital turut memainkan peranan. Dalam era di mana segala interaksi maya kekal tersimpan, remaja sedar bahawa kenyataan yang dimuat naik hari ini boleh memberi kesan kepada reputasi dan peluang masa depan mereka.
Majikan, institusi pengajian tinggi dan masyarakat sekeliling semakin meneliti rekod dalam talian sebagai penanda nilai peribadi dan profesional seseorang.
Faktor dalaman juga tidak kurang penting. Rasa kurang yakin, takut ditolak rakan sebaya, dan kebimbangan tidak mendapat sokongan menjadikan ramai remaja tidak berani berkongsi pandangan, apatah lagi jika ia tidak sehaluan dengan majoriti.
Fenomena ini memberi implikasi besar terhadap pembentukan pemikiran kritikal dalam kalangan belia. Jika suara anak muda terpadam dalam persekitaran digital yang sepatutnya inklusif, maka proses demokrasi, keaktifan sivik dan pembinaan jati diri generasi masa depan juga akan terjejas.
Maka, menjadi tanggungjawab bersama institusi pendidikan, keluarga, pihak berkuasa dan platform media sosial untuk mewujudkan ruang selamat yang menyokong kebebasan bersuara secara bertanggungjawab.
Pendidikan tentang etika digital, kesedaran undang-undang, dan kemahiran menyuarakan pendapat secara berhemah perlu diperkukuh.
Remaja perlu diyakinkan bahawa suara mereka penting. Dengan bimbingan yang betul, mereka mampu menjadi agen perubahan yang matang, bijak dan berpengaruh dalam masyarakat digital Malaysia.
Maklumat penulis:
1) Pelajar Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia, Nursyazwan Afif Norzali
2) Pensyarah Kanan Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Afiqah Kamarul