No Image Caption

Gurauan atau buli? Program mahasiswa UiTM beri kesedaran buli kepada murid sekolah

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
20 Feb 2026 02:24pm

Usaha memupuk kesedaran tentang sempadan antara gurauan dan buli dalam kalangan pelajar diperkasa menerusi penganjuran program See Media Through: Special Edition (SMT SE) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan baru-baru ini.

Penganjuran program ini merupakan sebahagian pelaksanaan inisiatif Service Learning Malaysia, University for Society (SULAM) yang bertujuan memberi pendedahan kepada murid sekolah mengenai kesan perlakuan buli terhadap kesejahteraan emosi, psikologi dan pencapaian akademik.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (ANSARA) Kuantan, ANSARA Pusat dan Muafakat MRSM Kuantan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta penglibatan komuniti sekolah.

No Image Caption

Penasihat program, Dr Mohd Yusof Zulkefli berkata, pendekatan pendidikan berkaitan isu buli perlu selari dengan realiti generasi muda masa kini.

Menurutnya, kaedah interaktif berasaskan pengalaman sebenar lebih berkesan berbanding pendekatan konvensional kerana pelajar dapat memahami situasi secara langsung.

“Apabila mesej disampaikan melalui aktiviti yang dekat dengan kehidupan mereka, pelajar lebih mudah memahami dan menghayatinya dengan empati,” katanya.

Program anjuran mahasiswa semester lima Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (Kepujian), Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berlangsung selama tiga hari dengan tema ‘Gully: Gurau atau Bully?’.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Yusof, program kesedaran seperti SMT SE bukan sahaja platform pendidikan malah membantu membentuk sahsiah dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Penolong Pengarah Program, Muhammad Harith Danish Mohd Khalid berkata, penganjuran dirangka bagi membantu pelajar memahami bahawa gurauan tanpa batas boleh memberi kesan negatif kepada rakan-rakan lain.

Katanya, pendekatan komunikasi kreatif dan aktiviti berkumpulan digunakan supaya mesej dapat difahami dengan lebih berkesan.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada simulasi situasi, perbincangan kumpulan dan refleksi kendiri bagi memahami isu buli secara menyeluruh.

No Image Caption

Pada masa sama, peserta, Darwish Nur Aiman Norfadzli Shah menyifatkan pengisian aktiviti menarik dan memberi pengalaman pembelajaran positif.

“Jika diberi skala satu hingga 10, saya beri 10 kerana semua aktiviti sangat menyeronokkan dan bermanfaat,” katanya.

Menurutnya, elemen persaingan sepanjang aktiviti juga membantu peserta memahami nilai hormat serta batas dalam pergaulan.

Penganjuran SMT SE pada masa sama memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan teori pembelajaran dalam situasi sebenar sekali gus mengukuhkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pengurusan program.

Secara keseluruhan, program tersebut dilihat sebagai inisiatif berimpak dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan berempati melalui kerjasama universiti dan komuniti.

Ringkasan AI

  • Usaha memupuk kesedaran tentang sempadan antara gurauan dan buli diperkasa menerusi program See Media Through: Special Edition di MRSM Kuantan
  • Program ini adalah pelaksanaan inisiatif Service Learning Malaysia, University for Society yang bertujuan memberi pendedahan tentang kesan buli
  • Mendapat kerjasama dari ANSARA Kuantan, ANSARA Pusat dan Muafakat MRSM Kuantan
  • Pendekatan pendidikan interaktif berasaskan pengalaman sebenar dianggap lebih berkesan
  • Program ini juga bertujuan membentuk sahsiah dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp