Platform TV PSS membuka ruang luas kepada murid dan pelajar untuk meneroka dunia penyiaran sejak usia muda, suatu kelebihan kompetitif dalam era ekonomi digital. Gambar kecil: Dari atas Nurul Nisha dan Mohd Radzman. Foto: Arkib Sinar Bestari
Platform TV PSS membuka ruang luas kepada murid dan pelajar untuk meneroka dunia penyiaran sejak usia muda, suatu kelebihan kompetitif dalam era ekonomi digital. Gambar kecil: Dari atas Nurul Nisha dan Mohd Radzman. Foto: Arkib Sinar Bestari

TV PSS pencetus pendidikan literasi media & pembangunan TVET multimedia

09 Sep 2025 08:30am

Dunia pendidikan kini bergerak seiring kemajuan teknologi digital.

Menyedari hakikat ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak 2021 telah menggerakkan satu inisiatif bernas dan berpandangan jauh iaitu penubuhan TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) di sekolah-sekolah seluruh negara.

TV PSS bukan sekadar satu aktiviti kokurikulum biasa, tetapi merupakan ekosistem pembelajaran inovatif yang memperkasa pelajar dengan kemahiran digital, komunikasi, penyiaran dan kerja berpasukan.

TV PSS diwujudkan di bawah seliaan Pusat Sumber Sekolah (PSS), berfungsi sebagai saluran media sekolah yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar dan guru.

Konsepnya ibarat stesen TV mini yang menyampaikan kandungan berita, pengumuman, dokumentari, ulasan buku, liputan acara sekolah dan juga program bual bicara, semua ini dihasilkan, disunting dan disiarkan oleh pelajar sendiri.

Pendek kata, mereka dilatih menjadi wartawan cilik, juruhebah, pengacara program, jurukamera, penyunting video, editor kandungan, penyelaras skrip dan penerbit rancangan sejak dibangku sekolah.

Usaha ini bukan sekadar memenuhi kehendak silibus semata-mata, malah ia mengangkat semangat Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang mementingkan kolaborasi, pemikiran kritis dan kreativiti.

Dengan erti kata lain, TV PSS adalah satu ruang eksperimen pembelajaran yang amat relevan dengan keperluan masa kini.

Artikel Berkaitan:

Foto: Arkib Sinar Bestari
Foto: Arkib Sinar Bestari

Dalam dunia yang semakin sarat dengan visual, data dan maklumat digital, pelajar bukan lagi pengguna pasif bahkan mereka perlu menjadi pencipta kandungan yang bertanggungjawab, autentik dan beretika.

Inisiatif ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembangunan insan secara holistik meliputi aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.

TV PSS bukan sahaja membantu pelajar menjadi lebih yakin, fasih berkomunikasi dan mahir dalam teknologi, malah turut memperkukuh jati diri apabila mereka menghasilkan kandungan berteraskan nilai murni, budaya sekolah dan cerita tempatan.

Buka ruang luas

Platform TV PSS ini membuka ruang luas kepada murid untuk meneroka dunia penyiaran sejak usia muda, suatu kelebihan kompetitif dalam era ekonomi digital.

Melalui penglibatan dalam penerbitan kandungan TV sekolah, murid bukan sahaja didedahkan kepada proses asas produksi media, malah diberi peluang menggalas pelbagai peranan penting dalam dunia penyiaran digital.

Mereka belajar dari asas, bermula dengan menyusun agenda berita sekolah, menulis skrip yang sesuai dengan khalayak rakan sebaya, mengendalikan sesi rakaman dan melakukan suntingan asas menggunakan perisian digital.

Proses ini memberi murid pengalaman dunia sebenar dalam mengurus sebuah konti media kecil yang menuntut perancangan teliti, disiplin, kolaborasi dan ketepatan masa, iaitu kemahiran bernilai tinggi dalam mana-mana industri.

Keyakinan diri dan kemahiran komunikasi murid terbina secara semula jadi apabila mereka berlatih bercakap di hadapan kamera, berinteraksi dengan penonton secara langsung mahupun rakaman serta menyampaikan berita atau informasi secara spontan tetapi tersusun.

Proses ini tidak hanya mengasah kemahiran lisan, malah memperkukuh pemikiran logik dan struktur komunikasi. Malah murid dapat belajar menyampaikan mesej yang tepat dalam masa yang terhad, dengan bahasa yang sesuai dan nada yang meyakinkan.

Lebih penting lagi, TV PSS mengangkat murid daripada sekadar pengguna media kepada pembina naratif.

Mereka diberi ruang untuk melaporkan isu yang dekat dengan komuniti sekolah seperti pencapaian rakan-rakan, peristiwa sekolah, kempen kesihatan, atau pun program Rukun Negara.

Pelaporan ini pastinya akan menjadikan murid lebih cakna dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Keadaan ini adalah pendidikan sivik dan sosial dalam bentuk yang praktikal, menarik dan kontemporari.

Foto: Arkib Sinar Bestari
Foto: Arkib Sinar Bestari

Saluran eksplorasi untuk pelajar

Dalam aspek pengembangan bakat, TV PSS turut berfungsi sebagai medan eksplorasi untuk pelajar mencungkil potensi dalam bidang kewartawanan, pengacaraan dan penulisan skrip kreatif.

Pelajar yang lebih cenderung kepada aspek teknikal pula berpeluang mempelajari asas pencahayaan, komposisi visual, dan suntingan video.

Kemahiran-kemahiran ini adalah asas kepada karier masa depan dalam bidang multimedia, filem atau komunikasi massa.

Tambahan pula, kajian membuktikan bahawa pelajar yang menyertai pasukan TV PSS berupaya membangunkan keberanian bersuara, kreativiti serta keupayaan berfikir kritikal.

Mereka bukan sahaja dilatih menjadi petah bercakap, malah bijak menilai maklumat, mengolah perspektif dan menyusun hujah.

Inilah set kemahiran penting yang perlu ada dalam menghadapi dunia moden yang sarat dengan maklumat palsu dan manipulasi media.

Pengalaman ini membentuk profil pelajar abad ke-21 iaitu generasi yang bukan sahaja celik digital, tetapi juga petah berbicara, berani tampil ke hadapan serta mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai konteks komunikasi.

Mereka tidak hanya menyerlah di pentas sekolah, malah lebih bersedia membina masa depan sebagai pemimpin, pendidik, wartawan atau pencipta kandungan digital yang bertanggungjawab.

Melalui platform ini juga, murid bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi berupaya bertindak sebagai pencipta kandungan digital yang kreatif, berstruktur dan mendidik.

Mereka dilatih menghasilkan pelbagai bentuk kandungan video seperti program pendidikan, berita sekolah, dokumentari, sketsa pendek, temu bual, video animasi dan kandungan interaktif.

Proses ini menuntut mereka berfikir secara sistematik, menyusun storyboard, menulis skrip dengan betul, mengatur jadual produksi dan menyunting rakaman dengan tahap profesional.

Latihan ini memperkukuh daya fikir inovatif dan kompetensi teknikal yang menjadi asas penting dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti penyiaran, produksi filem, rekaan grafik, animasi digital dan teknologi komunikasi visual.

Foto: Arkib Sinar Bestari
Foto: Arkib Sinar Bestari

Mencuba idea-idea baharu

Lebih menarik, sekolah yang melaksanakan TV PSS secara progresif turut menggalakkan murid mencuba idea-idea baharu seperti penerbitan video interaktif, animasi 2D atau 3D serta penggunaan kesan khas sederhana melalui perisian percuma.

Inisiatif ini bukan sahaja mencungkil bakat murid dalam bidang kreatif, malah menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi ekosistem pekerjaan masa depan yang menuntut kemahiran digital.

TV PSS turut memainkan peranan besar dalam mengasah kreativiti dan kecekapan teknikal murid dalam bidang multimedia.

Hal ini selari dengan teras pendidikan TVET yang menekankan kemahiran praktikal, aplikasi teknologi dan pembelajaran berbentuk hands-on.

Dalam penghasilan kandungan, murid didedahkan secara langsung dengan kemahiran ICT, audio visual dan multimedia.

Mereka belajar teknik asas pengendalian kamera video, framing shot, pergerakan kamera seperti panning dan tilting, teknik suntingan video menggunakan perisian seperti CapCut, iMovie, Filmora atau Adobe Premiere (bergantung pada kemampuan sekolah), selain menguasai kawalan audio, pencahayaan asas dan penggunaan audio.

Kemahiran ini berupaya membiasakan murid dengan berkemahiran teknikal sejak dibangku sekolah lagi.

Pendedahan menyeluruh ini menjadikan mereka lebih celik teknologi serta memberi nilai tambah kepada profil pelajar TVET masa depan, khususnya dalam bidang Komunikasi dan Media Digital, Teknologi Maklumat serta Penyiaran dan Filem.

Secara tidak langsung, TV PSS berfungsi sebagai makmal pra-TVEducation, iaitu platform awal untuk murid mengembangkan bakat dan mengenalpasti minat terhadap kerjaya berasaskan kemahiran.

Hal ini sangat penting kerana menurut dapatan Kementerian Pendidikan Malaysia, ramai pelajar yang memilih bidang TVET masih kurang pendedahan awal kepada aplikasi sebenar dalam bidang tersebut.

TV PSS, medan latihan sebenar

Oleh itu, TV PSS menjadi ruang organik bagi meningkatkan kesedaran kerjaya dalam bidang teknikal produksi media, reka bentuk multimedia, teknologi audio-visual dan produksi kandungan digital.

Bidang-bidang ini sedang berkembang pesat dan mempunyai permintaan tinggi di pasaran kerja.

TV PSS bukan lagi sekadar ruang sampingan untuk murid beraksi di depan kamera, tetapi medan latihan sebenar bagi membina generasi abad ke-21 yang berjiwa kreatif, celik teknologi, berani bersuara dan kritis dalam berfikir.

Dalam era komunikasi digital yang dipenuhi informasi bercampur-aduk, keupayaan murid menguasai kemahiran media dan komunikasi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan mendesak.

Apabila sekolah mampu menjadikan TV PSS sebagai ekosistem pembelajaran yang progresif, ia bukan sahaja melahirkan pelajar yang cemerlang di bilik darjah, malah melahirkan tenaga muda yang bersedia mengisi sektor TVET, industri kreatif dan dunia pekerjaan masa depan.

Soalnya kini, sejauh mana kita berani melabur dan memberi ruang kepada murid untuk terus bereksperimen, mencuba dan mencipta, agar mereka benar-benar bersedia menjadi pemimpin komunikasi digital negara pada masa hadapan?

Maklumat penulis:

1) Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Nurul Nisha Mohd Shah

2) Pengarah Kreatif, Sixtysix Action Academy, Mohd Radzman Basinon

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp