
Pemergian Cikgu Anita: Dunia pendidikan kehilangan permata berharga
Dunia pendidikan sekali lagi dirundung duka dengan pemergian seorang pendidik yang telah mencurahkan bakti sepenuh jiwa kepada anak bangsa.
Menurut makluman rasmi di Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, seorang Guru Akademik dari Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau, Miri, Sarawak, Cikgu Anita Hamdan, telah kembali ke rahmatullah pada Rabu, 11 Jun 2025 bersamaan 14 Zulhijjah 1446H.
Allahyarhamah disifatkan sebagai seorang guru yang berdedikasi, komited dan sangat disenangi oleh rakan sekerja serta anak didiknya.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau dikenali sebagai pendidik yang sentiasa meletakkan kepentingan pelajar sebagai keutamaan dan bekerja tanpa mengenal penat demi memastikan penyampaian ilmu berjalan lancar dan berkesan.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
"Kami juga mendoakan agar seluruh ahli keluarga diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat-saat sukar ini," menurut hantaran itu.
Sinar Bestari turut merakamkan ucapan takziah buat seluruh keluarga dan warga SK Merbau atas pemergian insan yang amat disayangi ini.
Semoga roh Allahyarhamah Cikgu Anita ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah.