Apakah langkah lanjut dan sewajarnya yang perlu dilakukan sebagai mahasiswa demi menunjukkan kebersamaan kita dengan Palestin?Gambar kecil: Muhammad Luqman.
Apakah langkah lanjut dan sewajarnya yang perlu dilakukan sebagai mahasiswa demi menunjukkan kebersamaan kita dengan Palestin?Gambar kecil: Muhammad Luqman.

Usaha mahasiswa jihad isu Palestin

MUHAMMAD LUQMAN SUHAIRI
22 Jan 2024 09:38am
A
A
A

Dunia kini hangat membicarakan isu kekejaman yang sedang berlaku di negara Palestin.

Sejak tertubuhnya negara haram Israel di Palestin pada tahun 1948, konflik Palestin-Israel berlarutan sehingga ke hari ini.

Nasib penduduk Palestin terutama di Gaza bagaikan pelarian di negara sendiri.

Lebih memilukan nyawa mereka bagaikan ‘murah’ ekoran serangan demi serangan tentera Yahudi Zionis secara bertubi-tubi.

Hatta, terbaharu kemusnahan rumah, fasiliti asas, hospital, pembunuhan dan kezaliman rejim Zionis juga semakin meningkat serta ‘menggila’ tanpa kawalan.

Namun, persoalan yang timbul adakah cukup reaksi dan sikap kita sebagai mahasiswa terhadap perlakuan ganas rejim zionis setakat ini?

Apakah langkah lanjut dan sewajarnya yang perlu dilakukan sebagai mahasiswa demi menunjukkan kebersamaan kita dengan Palestin?

Segala persoalan ini perlu kita rungkaikan demi membuka mata-mata dunia terutama golongan belia yang sedang menuntut sebagai penuntut dan celik keilmuannya.

Artikel Berkaitan:

Pada hemat dan pandangan saya, tugas mahasiswa adalah menjadi agen kepada penyatuan yang mengumpulkan paduan suara di peringkat dunia.

Malah, suara anak muda hari ini semakin didengari penduduk dunia.

Namun, keberanian dan kecekalan yang diperlukan terhadap anak muda untuk menjadikan suara mereka adalah suara yang harus diperjuangkan.

Langkah pertama adalah memahami secara menyeluruh isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat Palestin.

Ini mencakupi pemahaman tentang konflik politik, sosial dan ekonomi di wilayah tersebut.

Mahasiswa perlu menjadi advokat yang berpengetahuan dan dapat menjelaskan isu-isu tersebut kepada dunia.

Penggunaan media sosial oleh anak muda dapat menjadi alat yang sangat efektif untuk menyebarkan pemahaman tentang konflik Palestin-Israel.

Media sosial memberikan platform yang luas dan mudah diakses untuk menyebarkan informasi serta membangun kesedaran global.

Penggunaan media sosial dalam kalangan pihak anak muda adalah tidak asing lagi kerana mereka kini sangat gemar menggunakan platform itu dalam mencari dan memberi informasi.

Justeru, peranan anak muda terutama mahasiswa dalam memanfaatkan media sosial tentang isu ini bakal memberi kesan terhadap penerimaan di peringkat global.

Demostrasi secara kerap

Al-Imam Hasan al-Banna pernah menyatakan perbezaan antara orang muda dengan orang lain adalah keimanan yang kuat, ikhlas dan semangat kental dalam diri mereka.

Oleh itu, antara perkara lain yang boleh dilaksanakan sebagai seorang mahasiswa adalah dengan mengadakan program-program yang bertemakan solidariti seperti demonstrasi secara kerap.

Hal ini dapat mengelakkan daripada berlakunya sentimen bermusim yang hanya disebut 'isu ini' ketika musim-musim tertentu sahaja dan bukan pada setiap masa.

Secara tidak langsung perkara berkenaan akan memberi kesedaran berterusan kepada seluruh umat manusia dalam memperjuangkan hak kebebasan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin.

Akhirnya, usaha yang boleh dilaksanakan oleh mahasiswa dan anak muda adalah mengumpulkan sebanyak mungkin sumbangan untuk disalurkan kepada mereka di Palestin.

Dengan usaha sumbangan yang dilakukan ini, secara tidak langsung ia dapat membantu rakyat negara itu dalam mendapatkan segala keperluan mahupun fasiliti untuk meneruskan kehidupan mereka.

Bukanlah jumlah yang banyak diharapkan dari setiap penuntut akan tetapi memadai dengan kemampuan masing-masing.

Kesepaduan mahasiswa memberi sumbangan akan menatijahkan jumlah sumbangan yang sangat banyak walaupun hanya memperuntukkan jumlah yang sedikit.

Namun, di samping kita memberi sumbangan, doa adalah senjata bagi umat Islam.

Apabila kesedaran dan kefahaman sudah dipupuk dalam diri penuntut, maka doa akan sentiasa mengiringi buat saudara kita di Palestin.

Semoga segala usaha ini dapat dilatih dan dipraktikkan oleh golongan anak muda terutamanya mahasiswa yang celik keilmuan serta waras akal fikirnya.

Maklumat Penulis

Mahasiswa jurusan Usuluddin pengkhususan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Muhammad Luqman Suhairi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok