UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi merupakan sebuah agensi di bawah KKDW. Gambar kecil, Ts Dr Nik Mohd Khairuddin
UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi merupakan sebuah agensi di bawah KKDW. Gambar kecil, Ts Dr Nik Mohd Khairuddin

Memperingati sedekad kejayaan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi

TS DR NIK MOHD KHAIRUDDIN NIK ISMAIL
03 Nov 2023 04:42pm
A
A
A

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi menganjurkan satu karnival pada Oktober lalu sebagai memperingati sedekad kewujudan dan kejayaan universiti berkenaan.

Diadakan selama tiga hari di lokasi kampus dan Pusat Niaga Tasik Puteri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), program dikenali Karnival Sambutan 10 Tahun UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi disambut dengan meriah dan istimewa oleh warga universiti.

Karnival yang dirasmikan Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Ts Dr Mazidah Puteh, menyajikan pelbagai jenis acara menarik seperti pertandingan nyanyian yang dijurikan dua penyanyi terkenal, Anis Suraya dan Zamani Slam, jualan rahmah, pameran agensi, majlis ilmu bersama Pencetus Ummah (PU) Amin, pertandingan penalti futsal serta English & Math for Fun.

Turut diadakan juga pertandingan variasi seni kraft tisu, pemeriksaan kesihatan, sesi perkongsian keusahawanan influencer dan pencipta kandungan (content creator), pertandingan dart, memasak, senamrobik, memancing, kuliah dhuha, tarik tali, festival jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta cabutan bertuah.

Karnival ini tidak hanya menjadi sambutan ulang tahun ke-10 UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi semata-mata tetapi juga menjadi saluran memperkuat hubungan antara kampus dan masyarakat setempat.

Selain itu, karnival juga dilihat telah memberi inspirasi kepada warga universiti untuk berkhidmat dan memberi sumbangan terutamanya dalam bidang pendidikan.

Semoga UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi terus berkembang dan memberikan sumbangan yang bererti kepada masyarakat dan negara.

Latar belakang kampus

Artikel Berkaitan:

UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi, kampus yang berada di dalam wilayah KETENGAH dan merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ia kampus ketiga di bawah pengurusan tadbir UiTM Cawangan Terengganu dan dikenali Kampus Sains dan Kejuruteraan.

Kampus ini memainkan peranan amat penting sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi dan peningkatan taraf pendidikan.

Penubuhan UiTM memberi impak besar dari segi ekonomi dan lain-lain pembangunan fizikal serta infrastruktur di Bukit Besi.

Ini merupakan pemangkin kepada pertumbuhan kawasan secara menyeluruh agar dapat menarik lebih ramai penduduk dan peluang pekerjaan di wilayah berkenaan.

Pada awal proses pembinaan, Majlis Peletakan Batu Asas UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi telah diadakan pada 3 Februari 2008 yang disempurnakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Kampus ini secara rasmi telah beroperasi pada 1 Jun 2013.

Kampus Sains dan Kejuruteraan berkenaan terdiri daripada Pengajian Kejuruteraan Mekanikal; Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Fakulti Sains Gunaan yang menawarkan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian; Diploma Kejuruteraan Mekanikal; Diploma Kejuruteraan Kimia; Diploma Industri Higien dan Teknologi Keselamatan serta Pra Diploma Sains.

Setakat ini, hampir 55 staf akademik daripada pelbagai bidang kepakaran serta 82 staf pentadbiran dan sokongan sedang berkhidmat dan kira-kira 10, 000 graduan berjaya dilahirkan menerusi kampus ini.

Maklumat Penulis

Pensyarah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi, Ts Dr Nik Mohd Khairuddin Nik Ismail

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok