Kekalkan kejuaraan 2 tahun berturut-turut, pasukan debat POLIMAS semakin digeruni ramai
Pasukan debat Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah dinobatkan Johan Debat Bahasa Melayu pada Pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu Piala Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) 2023 baru-baru ini.
Pasukan yang disertai empat penuntut iaitu Muhammad Asyraf Muhd Kahar; Muhammad Arif Idham Saiful Harizal; Muhammad Norsyafiz Ikmal Azri dan Nur Atirah Abdul Nasir berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 beserta piala pusingan.
Muhammad Arif Idham yang menggalas tugas sebagai Ketua Pembangkang bagi pasukan itu turut dinobatkan Pendebat Terbaik dalam pertandingan berkenaan.
Pertandingan yang diadakan di POLIMAS turut mengumumkan penuntut Politeknik Ibrahim Sultan, Johor, Nur Intan Syafiqah Hairul Nizam merangkul Johan Pidato Bahasa Melayu dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 serta piala pusingan.
Menurut Pengarah POLIMAS, Rosli Idris, kejayaan anak-anak didiknya itu cukup membanggakan apatah lagi mereka berjaya mempertahankan kejuaraan untuk dua tahun berturut-turut.
Dengan kecemerlangan itu, kata Rosli, ia secara tidak langsung membuktikan POLIMAS menitikberatkan kemahiran berpidato dan pengucapan awam dalam kalangan mahasiswanya selari dengan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada hari ini.
Sementara itu, Jurulatih pasukan debat POLIMAS, Mohd Nazimi Zaim Ismail berkata, seluruh warga politeknik melahirkan rasa bangga atas kejayaan pasukan yang diterajui Muhammad Arif Idham.
“Selaku jurulatih, saya menjadi saksi yang mereka berusaha keras untuk menempa kejayaan dalam pertandingan tersebut.
“Tahniah dan semoga terus melakar lebih banyak pencapaian terbaik pada masa depan,” ujarnya yang juga pensyarah di POLIMAS.
Pertandingan Debat dan Pidato Bahasa Melayu Piala Ketua Pengarah JPPKK 2023 bertujuan memberi peluang kepada penuntut Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia mengetengahkan bakat mereka dalam bidang komunikasi, fasih dalam kaedah penyampaian idea, mampu berfikiran secara matang dan menghuraikan isu semasa secara kritis.