Kekurangan satu kelebihan, Nur Syahirah berjaya buktikan kemampuan raih diploma

AZLEENDA SAHALUDIN
13 Mar 2023 09:15am
A
A
A

Kecil-kecil cili padi. Itulah gambaran yang wajar diberikan kepada seorang graduan dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau, Negeri Sembilan, yang menerima Diploma Rekabentuk Media Digital hari ini dalam Majlis Konvokesyen Perdana Institut Pendidikan MARA (IPMA).

Nur Syahirah
Nur Syahirah

Ini kerana melihat kepada fizikalnya yang hanya berketinggian 124 sentimeter (cm) di usia 23 tahun, Nur Syahirah Mohd Wari berjaya membuktikan perbezaan itu bukan halangan untuk mencapai kejayaan.

Katanya, walaupun memiliki fizikal yang tidak normal seperti pelajar lain, dia tidak pernah disisihkan.

“Pada awalnya, saya agak bimbang dengan penerimaan rakan-rakan dengan fizikal yang tidak sama dengan mereka.

“Namun ia hanyalah tanggapan semata-mata kerana rakan-rakan terutamanya rakan sekelas sering menolong dan mereka sekali pun tidak pernah memandang rendah atau mengejek kekurangan saya,” ujarnya ketika ditemui Sinar Bestari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bercerita tentang fizikalnya, Nur Syahirah memberitahu, dia telah disahkan menghidapi masalah tulang lutut dari kecil sehingga menyebabkan pertumbuhannya terbantut dan tidak normal seperti kanak-kanak seusia dengannya.

Dalam pada itu, dia turut menambah, setiap pelajar perlu yakin dan berani untuk mencapai kejayaan dalam hidup walaupun mempunyai kekurangan fizikal sepertinya.

Artikel Berkaitan:

Tuturnya lagi, kekurangan seseorang itu pasti ada kelebihan tersendiri yang mampu mengubah masa depan agar lebih cerah dan terjamin sama seperti orang lain.

Bercerita lebih lanjut tentang pengajiannya dalam bidang Rekabentuk Media Digital, Nur Syahirah memaklumkan, dia merancang untuk menyambung ke peringkat ijazah dalam bidang sama tidak lama lagi.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen Perdana IPMA 2023 telah berlangsung selama lima hari bermula 5 hingga 10 Mac lalu melibatkan sebanyak sembilan sidang.

Majlis berkenaan turut menyaksikan seramai 12,142 graduan menerima penganugerahan dan pengiktirafan yang terdiri daripada pelajar KKTM, Institusi Kemahiran MARA (IKM), MARA Japan Industrial Institute (MJII) dan Kolej Profesional MARA (KPM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok