Graduan masa kini sewajarnya menguasai kemahiran insaniah sejajar dengan perkembangan teknologi. Gambar kecil: Nor Asyura.
Graduan masa kini sewajarnya menguasai kemahiran insaniah sejajar dengan perkembangan teknologi. Gambar kecil: Nor Asyura.

Kebolehpasaran graduan melalui kemahiran

NOR ASYURA BINTI MOHAMAD JAWAHIR DAN JAHARUDIN PADLI
31 Jan 2024 09:52am
A
A
A

Isu kebolehpasaran graduan masa kini sering kali dibincangkan dalam arena pendidikan tinggi negara seiring dengan masalah pengangguran siswazah, ketidakpadanan bidang kelulusan dengan permintaan industri dan sikap segelintir lulusan universiti yang terlalu memilih pekerjaan.

Kajian yang dibuat firma penyelidikan pasaran (IPOS) menjelaskan, pengangguran yang meningkat telah memberi kebimbangan tinggi kerana peningkatan pengangguran adalah sebanyak 40 peratus semasa pandemik Covid-19 berbanding dengan tahun sebelumnya.

Berdasarkan statistik kadar kebolehpasaran graduan, melebihi 80 peratus kadar kebolehpasaran di Malaysia yang dicatatkan pada tahun 2018 iaitu sebanyak 80.2 peratus manakala kebolehpasaran belia menunjukkan sebanyak 84.4 peratus pada 2020 berbanding 2019 iaitu sebanyak 86.2 peratus iaitu tahun sebelum krisis.

Namun jika dilihat dengan lebih terperinci iaitu memfokuskan pengangguran dari segi pengangguran graduasi, seramai 29,000 orang atau 9.8 peratus daripada 295,962 graduan 2022 yang masih belum memperoleh pekerjaan sewajarnya selepas enam bulan menamatkan pengajian.

Jumlah itu lebih rendah daripada 41,467 graduan menganggur, iaitu sebanyak 14.5 peratus daripada 286,299 graduan pada 2021.

Ia juga berbeza daripada 40,000 graduan menganggur, yang merupakan 15.6 peratus daripada 260,000 graduan yang menamatkan pengajian pada 2020.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, sistem kajian pengesanan telah dicipta bagi menganalisis dengan lebih terperinci dan tepat agar dapat mengatasi segala masalah dan cabaran dari segi kebolehpasaran pekerja dan program-program yang dapat mengatasi masalah graduan yang tidak mendapat pekerjaan.

Justeru, pihak kementerian melaksanakan semakan dan penambahbaikan dari sudut kokurikulum secara berkala dalam tempoh tiga tahun sehingga lima tahun agar setiap graduan mempunyai daya saing serta kebolehpasaran tinggi selepas menamatkan pengajian.

Artikel Berkaitan:

Selain daripada itu, pihak kementerian juga telah membina beberapa pelan strategik mengenai kebolehpasaran graduan serta menjalankan padanan kerajaan kepada graduan menerusi kolaborasi dan hubungan rapat universiti dan pihak universiti.

Lantaran itu, graduan kini seharusnya peka terhadap kenyataan dan bersiap siaga dalam melengkapkan diri bagi mendepani cabaran pekerjaan pada masa hadapan.

Pelan strategik

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melancarkan beberapa pelan strategik yang menunjukkan kerajaan sentiasa memberikan perhatian dalam menyelesaikan masalah yang berkait rapat dengan graduan-graduan masa kini seiring dengan perubahan teknologi termasuk Revolusi Perindustrian (IR) 4.0.

Kebanyakan syarikat memberi tumpuan kepada kaedah teknologi dan pendigitalan dalam menjalankan perniagaan selaras dengan perkembangan teknologi dalam talian dan segalanya internet (IoT).

Pengetahuan dan penguasaan dalam kemahiran ini amatlah relevan dalam menyokong graduan bagi mendepani cabaran pekerjaan yang kompetitif ini.

Oleh itu, terdapat kajian yang menjelaskan setiap graduan sepatutnya melengkapkan diri terlebih dahulu dengan keperluan-keperluan yang penting.

Selain daripada itu, graduan-graduan kini sewajarnya menguasai tentang kemahiran insaniah (KI) sejajar dengan perkembangan teknologi kini.

Kemahiran insaniah atau dikenali sebagai ‘soft skills’ amatlah penting bagi setiap graduan kini kerana ia merupakan satu keperluan bagi mengecapi kejayaan dalam dunia pasaran kerja hari ini.

Kajian merekodkan kebanyakan lepasan pengajian tinggi tidak memiliki kemahiran insaniah yang mencukupi yang mengakibatkan mereka gagal dalam memasuki sektor tenaga kerja di samping gagal dalam menjadi pekerja yang aktif dan cekap.

Pihak Institut kemahiran insaniah terkemuka Malaysia, Institut Debat & Pidato Malaysia (MIDP) menerangkan kemahiran insaniah ini adalah termasuk dengan pemikiran kritis dan kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah dengan strategik, kebolehan dalam berkomunikasi dan membina hubungan yang baik terhadap orang sekeliling.

Menguasai kemahiran insaniah sewaktu melanjutkan pelajaran dapat memberi kesan yang positif dalam kebolehpasaran graduan kerana ia menunjukkan bahawa mahasiswa telah mempunyai kemahiran komunikasi yang tinggi serta bergiat aktif dalam perbincangan kuliah.

Jadi, para graduan haruslah menggunakan ruang dan peluang yang ada agar setiap ilmu dan kemahiran yang digali semasa di universiti dapat digunakan untuk berbakti kepada nusa dan bangsa.

Kemahiran bidang keusahawanan

Keusahawanan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara, dengan keupayaan mereka untuk mendorong pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Oleh itu, adalah penting bahawa setiap graduan memperoleh kemahiran dalam bidang keusahawanan.

Dasar Keusahawanan Nasional 2030 telah diperkenalkan untuk melonjakkan aktiviti keusahawanan serta bertujuan dalam memperkukuh dan meningkatkan inisiatif dengan program yang sedia ada.

Kemahiran insaniah juga dapat dipratikkan dengan menjadikan idola usahawan sebagai ‘role-model’.

Aktiviti-aktiviti seperti mengenal pasti dan menganalisis ciri-ciri personaliti dan kemahiran unik telah memberikan pandangan baharu untuk mengasah setiap potensi diri mereka sebagai seorang usahawan yang berjaya kelak.

Begitu juga dengan prestasi ekonomi dan pasaran pekerjaan negara amatlah berkait rapat dengan kadar kebolehpasaran graduan.

Oleh hal yang demikian, kerjasama secara bersepadu dengan semua pihak amat diperlukan dalam memastikan kadar kebolehpasaran dapat ditingkatkan.

Antara langkah-langkah yang sedang aktif dijalankan adalah seperti program peningkatan kemahiran melalui dana Pelan Jana Semula Ekonomi atau PENJANA. Inisiatif yang dilaksanakan ialah kementerian telah menganjurkan dua program yang berkonsepkan latihan peningkatan kemahiran dan persijilan professional bagi membantu dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Sasaran bagi kedua-dua program ini adalah mahasiswa tahun akhir dan para graduan institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta yang masih belum bekerja.

Penawaran penempatan pekerjaan juga dijanjikan kepada para peserta apabila mereka menamatkan latihan industri dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Akhir kata, graduan harus pantas dalam mengadaptasikan dan menyesuaikan diri dalam mendepani era norma baharu ini.

Selain daripada menguasai ilmu pengetahuan yang mantap dalam bidang yang diceburi, para graduan haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran dan asas etika yang baik serta melengkapkan diri dengan tunjang utama iaitu kemahiran insaniah.

Justeru, para graduan sewajarnya sentiasa berusaha dalam memperbaiki kelemahan diri dan bertekad menjadi individu yang berkualiti dari segenap aspek agar mereka dapat bergerak seiring dengan graduan lain di peringkat global.

Maklumat Penulis

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Ekonomi (Sumber Alam), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nor Asyura Mohamad Jawahir

2) Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, UMT, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok