Kerjasama MSU dan GITC jayakan agenda TVET negara
Pembangunan modal insan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara aspek terpenting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara khususnya modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan memenuhi keperluan masa hadapan.
Justeru, Management and Science University (MSU) telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) untuk bersama-sama berkolabratif dalam memperkasa objektif tersebut.
Ia membabitkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam majlis yang berlangsung di kampus induk MSU, Selangor baru-baru ini.
Melalui kerjasama strategik ini, MSU dan GITC bakal berkolaborasi dalam aspek akademik, hubungan industri, perundingan, latihan dan penyelidikan serta pembangunan berkaitan pendidikan TVET.
Aspek lain yang turut diperkasakan ialah aspek pertukaran maklumat dan kepakaran bagi memastikan pembangunan kurikulum TVET selaras dengan keperluan industri serta meneroka peluang untuk perlaksanaan projek dan inisiatif bersama dalam TVET dalam bidang berkaitan.
Inisiatif ini juga membolehkan MSU dan GITC mengalas tanggungjawab bagi mengupayakan TVET dalam setiap rantaian nilai penghasilan graduan yang berkualiti untuk pasaran pekerjaan dalam negara dan global.
Ia juga dijangka mampu memperkukuhkan ekosistem TVET secara keseluruhannya dengan penggemblengan bersepadu kesemua pemegang taruh dalam usaha memartabatkan pendidikan itu sebagai pilihan pertama kerjaya.
MoU itu telah ditandatangani oleh Presiden MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Ahli Lembaga Pengarah GITC, Datuk Palaniappan Joseph.
Untuk rekod, permeteraian MoU itu turut disaksikan oleh Naib Presiden Kanan Hubungan Industri dan Keusahawanan MSU, Professor Dr Abdul Jalil Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif GITC, Jamil Bakri serta pengurusan kanan kedua-dua institusi.