Di sebalik keghairahan mengejar kecemerlangan akademik tersembunyi realiti yang sering terpinggir iaitu isu kesihatan mental pelajar yang semakin membimbangkan.
Di sebalik keghairahan mengejar kecemerlangan akademik tersembunyi realiti yang sering terpinggir iaitu isu kesihatan mental pelajar yang semakin membimbangkan.

Kesihatan mental pelajar di tahap membimbangkan. Apa tindakan kita?

06 May 2025 03:25pm

Institusi pengajian tinggi (IPT) sering dilihat sebagai medan utama pembentukan modal insan yang berkualiti dan melahirkan pemimpin masa depan negara.

Namun, di sebalik keghairahan mengejar kecemerlangan akademik tersembunyi realiti yang sering terpinggir iaitu isu kesihatan mental pelajar yang semakin membimbangkan.

Pelbagai kajian menunjukkan peningkatan kes kemurungan, keresahan dan tekanan dalam kalangan mereka.

Antaranya, menurut Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, prevalens masalah kesihatan mental pelajar sekolah dan universiti meningkat dua kali ganda daripada 7.9 peratus iaitu seramai 424,000 orang pada tahun 2019 kepada 16.5 peratus (922,318) pada 2023.

Statistik ini menunjukkan isu berkenaan perlu mendapat perhatian daripada semua pihak kerana ia mula menjadi trend yang amat membimbangkan.

No Image Caption

Tekanan akademik

Tekanan akademik bukan satu-satunya beban yang perlu dihadapi oleh pelajar malah mereka juga dibebani dengan cabaran kewangan, konflik hubungan, kesunyian dan kerisauan terhadap masa depan.

Artikel Berkaitan:

Semua perkara tersebut membuatkan pelajar terdedah kepada kemerosotan kesihatan mental.

Tidak dapat dinafikan bahawa pelajar masih memilih untuk ‘bertahan tanpa suara’ walaupun dalam era modenisasi ini sudah mula terbuka membincangkan tentang isu kesihatan mental.

Kecenderungan ini amat membimbangkan kerana pelajar terpaksa menanggung tekanan emosi secara bersendirian.

Mereka enggan mendapatkan bantuan profesional atas beberapa faktor seperti stigma sosial, kurangnya sokongan dan tanggapan bahawa ‘mengadu’ itu satu kelemahan.

Kebanyakan mereka memilih untuk memendam rasa, mengurus kesakitan emosi secara bersendirian sehinggalah tekanan itu memuncak menjadi krisis yang tidak dapat di atasi oleh diri mereka.

Situasi ini menuntut satu pendekatan yang lebih menyeluruh daripada seluruh komuniti kampus di mana pentingnya mempunyai kefahaman dan empati di dalam diri semua warga kampus.

No Image Caption

Pihak pengurusan IPT perlu melihat isu ini sebagai satu keutamaan dengan membina satu suasana sokongan yang terapeutik dan selamat supaya pelajar bebas untuk berkongsi tanpa perasan takut atau di hakimi oleh orang lain.

Ini termasuk dengan normalisasikan perbincangan mengenai kesejahteraan emosi, melibatkan pensyarah dan staf dalam intervensi awal melalui program mentor-mentee dan sentiasa melaksanakan kempen kesedaran tentang pengurusan kesihatan mental yang berterusan.

Lebih daripada itu, pelajar perlu dilihat sebagai manusia yang sedang melalui fasa perkembangan sebelum memasuki alam pekerjaan yang penuh dengan cabaran yang berbeza dari alam pengajian di universiti.

Mereka perlu diberi ruang untuk belajar dan merasai kegagalan, mengakui kelemahan dan mendapatkan bimbingan tanpa prejudis oleh persekitaran yang wujud dalam diri mereka.

No Image Caption

Perlu bersifat holistik

Kita perlu memastikan proses pembelajaran yang wujud perlu bersifat holistik yang turut memastikan keupayaan pelajar menguruskan emosi dan mempunyai daya tahan mental baik, bukan sekadar menjadi pelajar yang hanya mengejar pointer semata-mata.

Dalam usaha melahirkan generasi berdaya saing, kita tidak boleh membiarkan mereka 'terluka dalam diam'.

Menangani isu kesejahteraan mental bukan hanya tanggungjawab kaunselor di IPT tetapi merupakan tugas bersama seluruh komuniti kampus iaitu pensyarah, pentadbir, rakan sebaya dan seluruh ekosistem pendidikan.

Pendek kata, tiada maknanya kecemerlangan akademik andai kesejahteraan diri terkorban dalam diam.

No Image Caption

Maklumat Penulis:

Mahasiswa Tahun Tiga, Sarjana Muda Kaunseling, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merangkap Pengasas Akademi Pembangunan Insaniah Cemerlang (APIC), Muhammad Syahrizwan Sainuddin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp