Khairul Ashikhin Duta Malaysia Lambassador 2023
Diumumkan sebagai Duta Malaysia Lambassador 2023 baru-baru ini telah mengejutkan Khairul Ashikhin Abdullah Suhami.
Ini kerana tugas dan tanggungjawab menggalas gelaran duta bukanlah semudah menghafal sifir.
Katanya, banyak perkara yang perlu diberi perhatian dalam memastikan semuanya berjalan lancar.
Khairul Ashikhin yang merupakan Pensyarah Utama, Program Kulinari Kolej Komuniti Chenderoh, Perak, dilantik sebagai Duta Malaysia Lambassador 2023 selama setahun oleh Meat & Livestock Australia bersempena Australian Lambassador Induction Program to Melbourne, Victoria, Australia.
Program yang bermula 30 April hingga 6 Mei lalu mengumpulkan barisan Duta Besar yang terpilih dari seluruh dunia seperti Malaysia, Jepun, Korea, China, Arab Saudi, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Indonesia, Taiwan, Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina.
Setiap peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan termasuklah lawatan ke ladang ternakan biri-biri dan menyaksikan demonstrasi penyembelihan haiwan tersebut.
Untuk menjadi Duta Besar bagi Meat & Livestock Australia, beberapa kriteria telah ditetapkan penganjur dan salah satunya individu tersebut (bidang kulinari) berupaya mendidik serta mampu mempengaruhi masyarakat.
Selain itu, pemilihan sebagai Duta Besar juga berdasarkan rekod pencapaian cemerlang individu dalam pertandingan masakan peringkat nasional dan antarabangsa.
Dalam pada itu, Kolej Komuniti Chenderoh menerusi akaun Facebooknya telah memuat naik hantaran tahniah dan penghargaan atas kejayaan Khairul Ashikhin.
Malah, ruangan komen di perkongsian itu turut dipenuhi ucapan tahniah daripada warganet.
Mushita Mustafa: Alhamdulillah, tahniah Puan Ashikhin! You deserve it. Semoga terus sukses dalam kehidupan.
Annis Syed Wafa: Tahniah! Puan Ashikhin.
Nor Hazwani Wani: Tahniah! Pensyarahku.
Farid Yusoff: Mantap sokmo Puan Ashikhin kito. Terbaiklah.
Addib Amran: Wahhh! Tahniah puan, semoga puan terus maju ya.
Mengulas lanjut, Kolej Komuniti Chenderoh dalam satu kenyataan memaklumkan program anjuran Meat & Livestock Australia telah memberikan pengalaman cukup bermakna kepada Khairul Ashikhin dan para Duta Besar yang lain.
"Para peserta dibahagikan dalam kumpulan dan diberi tugasan berupa cabaran memasak seperti masterchef di Melbourne Cricket Grand Stadium.
“Mereka dikehendaki memasak hidangan untuk 60 orang dengan menggunakan daging biri-biri yang terpilih dan Khairul Ashikhin bersama pasukannya yang terdiri daripada Duta Besar dari China, Indonesia, Amerika Syarikat, Arab Saudi telah menjuarai cabaran memasak tersebut.
"Kemenangan pasukan yang dikenali 'The Bones' itu secara tidak langsung membuktikan mereka mampu mengharungi segala cabaran dan rintangan dalam pertandingan,” ujar kenyataan itu.