Cikgu Halini (tengah) sewaktu diumumkan sebagai pemenang sekali gus dinobatkan Duta Perubahan Iklim Dunia.
Cikgu Halini (tengah) sewaktu diumumkan sebagai pemenang sekali gus dinobatkan Duta Perubahan Iklim Dunia.

Inilah Duta Perubahan Iklim Dunia pertama!

Cikgu Halini nekad bawa kesedaran kepentingan alam sekitar bermula dari sekolah

AZLEENDA SAHALUDIN
05 Feb 2024 09:05am
A
A
A

Terasa seperti bermimpi apabila projek kelestarian yang dibentangkan seorang guru pada TeachersCOP di Dubai 2023, mendapat tempat di hati juri sekali gus melayakkan dirinya dilantik sebagai Duta Perubahan Iklim Dunia.

CIKGU HALINI
CIKGU HALINI

Guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Tengah, Johor, Noor Halini Allias membawa projek bertemakan I Can, You Can, We Can yang menumpukan penanaman semula pokok bakau.

Kongsi Noor Halini atau Cikgu Halini, idea membangunkan projek itu tercetus apabila melihat pentingnya pokok bakau terhadap kelestarian alam.

“Projek I Can, You Can, We Can ini, bertujuan mendedahkan masyarakat tentang apa tindakan yang boleh dilakukan bagi melindungi persekitaran.

“Pendedahan ini seeloknya bermula daripada pendidikan sekolah rendah agar anak-anak kita mendapat pengetahuan awal tentang kepentingan menjaga alam sekitar demi masa depan negara,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai projek itu, Cikgu Halini memberitahu, ia telah dijalankan secara dua peringkat di mana fasa pertama melibatkan 78 murid dan lapan guru pengiring bertempat di Tanjung Piai, Johor.

Sementara itu, fasa kedua berlangsung di Langkawi, Kedah dengan penyertaan seramai 15 murid.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kedua-dua fasa, murid bukan sahaja memperoleh ilmu baharu tentang penjagaan alam sekitar, malah mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman menanam pokok bakau yang sebelum ini hanya dipelajari menerusi buku teks.

“Fasa pertama di Tanjung Piai, murid menjalankan aktiviti seperti mengutip sampah dan tanam pokok. Saya lihat mereka teruja, maklumlah kali pertama rasai pengalaman sebegini.

“Fasa kedua, Alhamdulillah kami mendapat tajaan tiket kapal terbang dan ada juga yang ibu bapa yang memberi sumbangan untuk ke UNESCO Global Geopark Langkawi.


Cikgu Halini (dua dari kanan) bersama sekumpulan pendidik dari beberapa negara luar sewaktu menghadiri pembentangan projek TeachersCOP di Dubai, tahun lalu.
Cikgu Halini (dua dari kanan) bersama sekumpulan pendidik dari beberapa negara luar sewaktu menghadiri pembentangan projek TeachersCOP di Dubai, tahun lalu.



Pembentangan diadakan secara dalam talian bersama para peserta yang juga pendidik global.
Pembentangan diadakan secara dalam talian bersama para peserta yang juga pendidik global.

“Di sana, mereka diperkenalkan dengan tumbuhan yang semakin pupus dan diberi pendedahan tentang penjagaan spesies terancam,” ujarnya lagi.

Saingan 386 projek

Ditanya mengenai pengalamannya diterbangkan ke Dubai, bagi membentangkan projek yang dibangunkan, Cikgu Halini memberitahu, perasaan teruja dan gementar menyelubungi diri memandangkan dirinya merupakan wakil tunggal dari Malaysia.

Kongsinya lagi, sebanyak 386 projek telah dihantar dari seluruh dunia dan hanya lima projek terbaik terpilih untuk dibentangkan bersama lima lagi projek.

“TeachersCOP di bawah Pendidikan Perubahan Iklim (Climate Change Education) merupakan kali pertama diperkenalkan pada tahun 2023.

“Ia melibatkan penyertaan seluruh warga pendidik bermula dari guru tadika sehingga pensyarah universiti untuk memperjuangkan projek mereka bertemakan kelestarian alam.

“Walaupun saingan daripada individu-individu yang latar belakangnya hebat-hebat belaka, namun pihak TeachersCOP melihat usaha saya ini untuk mendidik terutama pelajar tentang kepentingan penjagaan alam sekitar,” jelasnya.

Sebagai kumpulan pertama yang dilantik menjadi Duta Perubahan Iklim Dunia, Cikgu Halini mengakui ingin terus membawa isu ini dengan lebih meluas.

Katanya, pendidikan tentang perubahan iklim perlu ditekankan sama seperti negara-negara luar yang telah lama mengusahakan perkara ini.

“Di negara luar, sistem pendidikan mereka sudah pun mendedahkan tentang kepentingan ini salah satunya adalah green cocuriculum yang saya lihat sangat bagus untuk kita melalukan perkara sama.

“Sebagai pendidik, kita juga memikul tanggungjawab mendidik anak agar mereka sedar untuk bersama-sama menjaga alam sekitar ini,” tuturnya.

Untuk rekod, Cikgu Halini bakal mewakili Malaysia dalam bengkel perubahan iklim di Climate Change Education Summer University (CESU), Toulouse, Perancis pada 12 Julai nanti.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok