Pengurus Besar SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin bersama Naib Canselor UTeM, Ts Profesor Dr Masilla Kamalrudin pada  Majlis Menandatangani LOI di UTeM, Melaka baru-baru ini.
Pengurus Besar SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin bersama Naib Canselor UTeM, Ts Profesor Dr Masilla Kamalrudin pada Majlis Menandatangani LOI di UTeM, Melaka baru-baru ini.

KITARecycle menjaga kelestarian alam sekitar

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
27 Feb 2023 04:32pm
A
A
A

Menjaga alam sekitar adalah satu kewajipan yang sering diambil ringan oleh masyarakat pada masa kini.

Penjagaan kelestarian alam mempunyai kepentingan yang cukup tinggi dalam memastikan ekosistem dan semua jenis habitat yang ada di bumi mampu hidup yang sihat dan sejahtera termasuk manusia.

Oleh itu, banyak program dan inisiatif telah dibangunkan pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam serta menanamkan rasa tanggunjawab dalam diri manusia untuk menjalankan kewajipan mereka bagi memastikan alam sekitar serta fungsinya berada dalam keadaan yang baik untuk terus menjadi ‘rumah’ kepada semua.

Demi merealisasikan impian itu, SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menandatangani Surat Niat (LOI) bagi memperkasakan kerjasama dalam program KITARecycle dan inisiatif berkaitan kelestarian alam sekitar.

Menurut Pengurus Besar SWM Enviroment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, antara aspek kerjasama yang akan diteroka menerusi LOI adalah meningkatkan penglibatan serta kesedaran warga kampus dan masyarakat di dalam aktiviti pengasingan sisa pepejal di punca (Seperation at Source - SAS) dan 3R (kurangkan-reduce, guna semula-reuse, kitar semula-recycle).

Jelas Mohd Norlisam, LOI tersebut merupakan kesinambungan kepada pelbagai program yang telah mereka jayakan bersama institut pengajian tinggi (IPT) berkenaan sebelum ini.

Katanya lagi, pihaknya bersama UTeM mempunyai niat dan sasaran yang sama iaitu untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam.

“Antara program dengan UTeM yang telah dijayakan bersama adalah Program Kesedaran Kitar Semula Sempena Global Recycling Day, projek Smart Trash Sorting System, Projek Service Learning Malaysia- University for Society (SULAM) dan Karnival Penghayatan Alam Sekitar.

Artikel Berkaitan:

“SWM Enviroment sebagai syarikat konsesi manakala UTeM sebagai sebuah institusi pendidikan mempunyai komitmen dan matlamat yang sama iaitu mendidik orang awam mengenai pengurusan sisa pepejal dengan berkesan dan pemeliharaan alam sekitar mampan.

“Kami berharap dengan program yang telah dirancang bersama ini bukan sahaja memanfaatkan kedua-dua pihak tetapi juga dapat memberi impak yang positif kepada masyarakat serta alam sekitar di bawah kerangka Communication, Education and Public Awareness (CEPA),” ujarnya pada Majlis Majlis Menandatangani LOI di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Melaka, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTeM, Ts Profesor Dr Masilla Kamalrudin.

Dalam pada itu ujar Mohd Norlisam, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan IPT lain atas tujuan yang sama iaitu menyokong usaha mewujudkan kampus hijau.

Jelasnya, keseimbangan akademik dan pembangunan mampan di IPT harus seiring dan menjadi satu nilai tambah kepada kerjasama antara industri dan universiti.

“Kami (SWM Enviroment) akan terus menjalinkan kerjasama bersama IPT lain bagi menyokong usaha untuk mewujudkan kampus hijau serta memperkasakan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dan kitar semula dalam kalangan pelajar.

“Kami juga bersedia untuk bekerjasama dengan UTeM daripada aspek perkongsian latihan dan tenaga serta mengalu-alukan penglibatan UTeM dalam pemindahan ilmu, kajian dan data akedemik yang mampu memberikan sumbangan kepada kelestarian alam sekitar,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok