Pemeriksaan gigi merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan menerusi program KMB Bonding ini.
Pemeriksaan gigi merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan menerusi program KMB Bonding ini.

KMB Bonding prihatin kesihatan Orang Asli

ROSHLAWATY MD RAIEH
28 Mar 2023 04:07pm
A
A
A

Penduduk Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang, melahirkan rasa gembira kerana mendapat kunjungan sekumpulan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) ke kampung mereka baru-baru ini.

Kumpulan penuntut yang terdiri daripada Sekretariat Kesukarelawanan dan Mobiliti, Majlis Perwakilan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB), UPM, itu telah ke kampung berkenaan bagi berkongsi pelbagai ilmu menerusi program KMB Bonding.

Menurut Pengarah Program, Ahmad Syahrir Haqqimi Ismail, program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan pembelajaran secara terus kepada penduduk Orang Asli mengenai kepentingan menjaga kesihatan.

Ujarnya, pelbagai rawatan kesihatan secara percuma telah diberikan kepada Orang Asli antaranya pemeriksaan Body Mass Index (BMI), pemeriksaan gigi dan pemeriksaan aras glukosa di dalam badan.

Ahmad Syahrir yang merupakan penuntut Bacelor Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti memberitahu, penganjuran KMB Bonding mampu memupuk hubungan baik sesama masyarakat khususnya kepada mahasiswa UPM dalam mengaplikasikan kemahiran berkomuniti yang sebenar selari dengan tema program ‘mahasiswa prihatin masyarakat terjamin’.

“Saya percaya KMB Bonding ini sangat berpotensi untuk menjayakan hasrat UPM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan hanya bersaing untuk memburu kecemerlangan akademik bahkan juga melahirkan graduan prihatin kepada masyarakat sekitar,” ujarnya dengan menambah KMB Bonding disertai 30 sukarelawan dan 44 ahli jawatankuasa pelaksana.

Sementara itu, Tok Batin Perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Batin Ramun Shari berkata, program seperti itu amat dialu-alukan oleh semua penduduk demi menjamin taraf kesihatan Orang Asli di kampung tersebut.

“Kawasan kampung ini terletak jauh di pedalaman dan sukar bagi kami untuk mendapatkan rawatan atau nasihat kesihatan daripada mereka yang pakar.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, KMB Bonding ini begitu bermakna dan kami berharap ia akan dianjurkan lagi pada masa akan datang,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok