Shamsulkahar (tiga dari kanan) bersama barisan tetamu dan penerima sumbangan zakat KPTMSB.
Shamsulkahar (tiga dari kanan) bersama barisan tetamu dan penerima sumbangan zakat KPTMSB.

Kolej Poly-Tech Mara serah zakat kepada staf, pelajar, pusat tahfiz

NURBAYA ABDUL REZAK
25 Mar 2024 02:14pm
A
A
A

Mengambil sedikit kemanisan bulan Ramadan, Kolej Poly-Tech Mara Sdn Bhd (KPTMSB) tampil berkongsi rezeki bersama asnaf kakitangan, pelajar dan pusat tahfiz.

Perkongsian rezeki itu adalah sumbangan zakat berjumlah RM430,000 yang mana sebanyak RM350,000 diberikan kepada asnaf pelajar KPTM dan UPTM.

Manakala sebanyak RM25,000 sumbangan zakat diserahkan kepada golongan asnaf kakitangan, RM10,000 untuk Maahad Tahfiz Maubul Huffaz dan serahan sumbangan Foodbank daripada Plus berjumlah RM45,000.

Menurut Pengerusi KPTMSB, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli, sumbangan zakat itu menjadi tanda KPTMSB tidak pernah melupakan menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

“Semoga dengan penyampaian sumbangan ini dapat mengingatkan diri kita bahawa Ramadan bukan hanya tentang puasa dan berbuka, tetapi juga tentang memberi, berkongsi, dan mengasihi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ihya' Ramadan KPTM 2024 di Hotel Premiera, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara, Datuk Zulfikri Osman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mara Corporation, Datuk Julaini Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej PolyTech Mara Sdn Bhd, Radzuan Razali.

Untuk rekod, KPTM yang pada asalnya dikenali sebagai Kolej Yayasan Pelajaran Mara (KYPM) diasaskan sebagai sebuah institut pengajian tinggi swasta di bawah Akta Institut Pengajian Tinggi Swasta Tahun 1996 (Akta 555) pada September 2003.

Artikel Berkaitan:

Kini KPTM adalah sebuah institusi pendidikan milik penuh Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) yang menawarkan 45 program pengajian di peringkat asasi, diploma, ijazah, pasca siswazah dan pengajian professional.

KPTM beroperasi di tujuh cawangan termasuk satu bertaraf Kolej Universiti iaitu Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur.

KPTM menawarkan pelbagai peluang pendidikan dalam bidang seperti Teknologi Maklumat, Sains Komputer, Sains Kesihatan, Sains Sosial, Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Kejuruteraan, Kemanusiaan dan Bio-Industri.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok