Dr Mohd Shukri (lapan dari kiri) bergambar bersama anak-anak yatim sempena program MSU Ihya Ramadan 2024.
Dr Mohd Shukri (lapan dari kiri) bergambar bersama anak-anak yatim sempena program MSU Ihya Ramadan 2024.

MSU semarak Ramadan, raikan anak-anak yatim

25 Mar 2024 11:23am

Sebagai sebahagian daripada aktiviti bersempena program MSU Ihya Ramadan 2024, Management and Science University (MSU) telah menganjurkan program Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Anak-Anak Yatim 2024 yang diadakan di Dewan Canselor, kampus MSU di sini.

Ia bermatlamat untuk menyantuni dan berkongsi rezeki serta tanda keprihatinan MSU terhadap aspek kebajikan dan pembangunan komuniti khususnya 20 buah rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang serta 200 orang penghuninya.

Majlis itu disempurnakan oleh Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid yang turut menyerahkan sumbangan wang zakat dan duit raya dari Yayasan MSU bernilai RM120,000 kepada rumah-rumah kebajikan dan para penghuninya.

Antara rumah kebajikan terlibat ialah Rumah Kasih Harmoni, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Al-Nasuha, Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Rumah Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad serta Pusat Jagaan Darul Imtinan.

Hubungan erat di antara MSU dan rumah-rumah kebajikan ini telah terjalin semenjak tahun 2011 dan terus berkekalan sehingga kini.

Majlis penyerahan zakat dan duit raya ini adalah acara tradisi MSU dan mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti serta menyuburkan budaya bersyukur dan memberi (2G Culture) dalam kalangan warga kampus khasnya dan masyarakat amnya.

Turut hadir ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid; Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof; pengurusan kanan universiti serta wakil-wakil rumah kebajikan dan anak-anak yatim.

Program MSU Ihya Ramadhan 2024 turut menyaksikan pelaksanaan lebih 200 aktiviti melibatkan warga kampus, komuniti setempat serta komuniti antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Di antara kategori dan golongan komuniti yang disantuni adalah anak-anak yatim, golongan asnaf, mualaf, kategori B40, orang Asli, petugas barisan hadapan, pelajar MSU dan Kolej MSU, pelajar sekolah serta rakan-rakan industri.

Antara program yang dijalankan ialah majlis sumbangan zakat kepada pelajar MSU dan Kolej MSU serta pelajar-pelajar sekolah menengah terpilih di Lembah Klang, MSU Cares B40 Project, Hopebox, Ramadan Iftar Box, MSU Quranic League, Sinar Ramadan 7.0, Ramadan Booster, GPS Ramadan 2024 ASEAN Tour, MSU Bubur Lambuk Bowl serta GPS Ramadan: Bangalore Chapter.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp