
Konstabel Akmal Wafi, alumni UniSHAMS antara yang terkorban. 'Damailah di sana, wahai anak soleh'
Salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan, Perak pada Selasa, rupa-rupanya merupakan alumni Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kedah.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di TikTok oleh hosca_unishams, Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28, pernah mengikuti pengajian dalam jurusan Diploma Kreatif Multimedia di institusi pengajian tinggi swasta milik penuh Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.
Pemergian anak muda yang dikenali sebagai insan soleh ini telah menyentuh hati warga maya, yang tidak putus-putus menitipkan doa dan ucapan takziah buat Allahyarham.
Antara komen menyentuh hati yang sempat dipetik Sinar Bestari menerusi komen di semua platform media sosial adalah:
"Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Damailah engkau di sana, wahai anak soleh."
"Walaupun tak kenal secara peribadi, berita ini buat hati tersentuh sangat. Tenangnya wajah arwah, seolah-olah pergi dalam keadaan yang sangat indah."
"Al-Fatihah. Semoga pemergian Akmal Wafi menjadi asbab untuk kita semua lebih menghargai masa dan insan yang kita sayang.”
"Arwah orang yang baik. Dia baik dengan ayah saya."
"Secepat ini...kita bakal menyusul."
Terdahulu, seramai sembilan anggota FRU meninggal dunia dalam insiden ngeri melibatkan sebuah trak pasukan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan sekitar jam 8.30 pagi Selasa.
Mereka yang terkorban terdiri daripada Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28 tahun; Sarjan S Perumal (44); Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim (46), Koperal Mohd Pozli Jaudin (41); Koperal Nurit Pandak (34) dan Koperal Amiruddin Zabri (38).
Selain itu, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan (38); Koperal Muhamad Akmal Muhamad (35) dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif (33).