Allahyarham Tun Abdullah dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang menjunjung tinggi nilai-nilai murni dalam pentadbiran negara.
Allahyarham Tun Abdullah dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang menjunjung tinggi nilai-nilai murni dalam pentadbiran negara.

'Tun Abdullah negarawan ulung, alumni UM yang sentiasa dalam kenangan' - Naib Canselor UM

15 Apr 2025 09:07am

Negara kehilangan seorang tokoh besar apabila bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam tadi.

Pemergian Allahyarham Tun Abdullah bukan sahaja dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, malah turut menyentuh hati warga Universiti Malaya (UM), institusi yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal intelektual beliau.

Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, seluruh warga UM menyatakan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Tun Abdullah, yang juga merupakan alumni Sarjana Muda Sastera (Pengajian Islam) tahun 1964.

Jelas Noor Azuan, Allahyarham disifatkan sebagai lambang kepimpinan berintegriti dan negarawan ulung yang amat disegani, bukan sahaja di peringkat nasional malah antarabangsa.

"Sebagai alumni UM, segala sumbangan dan pencapaian beliau menjadi cerminan unggul nilai-nilai teras universiti iaitu kecemerlangan, kepimpinan dan tanggungjawab kepada masyarakat," ujar beliau dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Noor Azuan, Allahyarham Tun Abdullah dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang menjunjung tinggi nilai-nilai murni dalam pentadbiran negara.

Ujarnya, legasi kepimpinan beliau yang menekankan prinsip kesederhanaan, toleransi dan pembangunan inklusif, kekal menjadi inspirasi kepada generasi masa kini dan akan datang.

Noor Azuan
Noor Azuan

Artikel Berkaitan:

"UM amat berbangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan awal beliau dalam dunia keilmuan.

"Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga universiti,” katanya lagi.

Ujar Noor Azuan, UM turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh rakyat Malaysia yang turut berkongsi kesedihan ini.

"Doa dipanjatkan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman.

"Legasi Tun Abdullah tidak akan dilupakan - beliau akan terus dikenang sebagai negarawan sejati yang meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi segalanya," luahnya lagi.

Allahyarham Tun Abdullah meninggal dunia di usia 85 tahun pada Isnin jam 7.10 malam tadi di IJN, Kuala Lumpur.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang juga menantunya menerusi hantaran Instagram milik beliau pada Isnin.

Berdasarkan maklumat sumber terdekat dengan keluarga Allahyarham Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas dimaklumkan sudah dimasukkan ke wad IJN sejak awal pagi Ahad atas masalah sakit tua dihadapinya sebelum ini.

Kesihatan Pak Lah yang mengalami demensia merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini, malah beliau tidak lagi dapat mengingati nama dan wajah ahli keluarganya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp