No Image Caption

KPT giat usaha tingkat kemasukan pelajar ke program TVET

22 Sep 2023 04:59pm



Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) giat menggembleng usaha mentransformasi serta memperkasa politeknik dan kolej komuniti.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff, antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah dengan menambah beberapa lagi penawaran program selari dengan New Industrial Master Plan (NIMP) 2030.

Katanya, program tersebut merangkumi bidang terkini dan termaju daripada segi kemahiran dan peralatan perubatan serta teknologi dalam disiplin kejuruteraan, elektrik dan mekanikal pembuatan.

“Bagi meningkatkan kemasukan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah KPT, turut disediakan ialah laluan khas kemasukan kepada golongan rentan seperti golongan berpendapatan rendah (B40), Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli.

“KPT juga bercadang untuk mempertimbangkan laluan khas kepada pelajar aliran agama, para huffaz dan lepasan maahad tahfiz untuk menyertai pelbagai program TVET di bawah KPT.

“Misalnya, perkongsian kepakaran dan penambahbaikan kandungan pengajian dan latihan termasuk dengan melaksanakan Latihan Industri Berstruktur serta mengimplementasikan pendekatan Work Based Learning (WBL) iaitu pendekatan pembelajaran secara langsung dalam industri dan microcredentials,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Konvokesyen Komemoratif Kolej Komuniti Tahun 2023 (Sidang 8 ) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Khamis.

Mohd Zabri menambah, bermula tahun hadapan, kolej komuniti akan bertindak sebagai pusat utama penawaran pakej microcredentials kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:


Ia akan dimulakan dengan penawaran sembilan program microcredentials di tiga Kolej Komuniti, iaitu Kolej Komuniti Pasir Gudang, Bandar Penawar dan Pagoh.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp