Dr Wan Muhammad Faizuddin (kiri) menyempurnakan gimik majlis penyerahan Inovasi Aplikasi Sistem Smart Nutriton antara Politeknik Besut dengan Hospital Besut di Hospital Besut, Terengganu pada Isnin.
Dr Wan Muhammad Faizuddin (kiri) menyempurnakan gimik majlis penyerahan Inovasi Aplikasi Sistem Smart Nutriton antara Politeknik Besut dengan Hospital Besut di Hospital Besut, Terengganu pada Isnin.

Politeknik Besut cipta aplikasi pesanan makanan pesakit hospital

23 Jan 2024 07:00am
A
A
A

Pensyarah dan pelajar Politeknik Besut berjaya membangunkan sebuah aplikasi pesanan makanan diet secara dalam talian untuk pesakit di Hospital Besut di sini.

Pengarah Hospital Besut, Dr Wan Muhammaad Faizuddin W Mohd Fauzi berkata, aplikasi itubagi menggantikan kaedah manual yang diguna pakai di hospital tersebut.

Beliau berkata, aplikasi itu membolehkan jururawat melakukan pesanan makanan diet pesakit ke Unit Dietetik dan Sajian hospital, berbanding sebelum ini yang memerlukan mereka menulis dan mengisi sendiri borang pesanan makanan setiap pesakit.

"Selama ini, pesanan dibuat secara mengisi borang dan dihantar ke Unit Dietetik dan Sajian sebanyak dua kali sehari iaitu pada 7 pagi dan 2 petang, sedangkan pesakit sering bertukar-tukar kerana dalam tempoh itu ada pesakit yang baru daftar masuk wad dan ada yang telah dibenarkan keluar wad.

"Ketidakseragaman data yang kita kumpul ini menyebabkan ada makanan yang dipesan dibazirkan, jadi dengan adanya aplikasi ini, ia dapat memantau data secara masa sebenar antara wad, klinik pakar dan dewan bedah dalam proses memesan makanan," katanya kepada pemberita sewaktu Majlis Penyerahan Projek Inovasi Smart Nutrition System kepada Unit Dietetik dan Sajian Hospital Besut Versi 1.0 di Hospital Besut, Terengganu pada Isnin.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Zahari Ismail dan Pengarah Politeknik Besut, Che Mukthar Bakar.

Dr Wan Muhammad Faizuddin berkata, aplikasi itu juga dapat mengurangkan penggunaan kertas dan menjimatkan masa para petugas.

Aplikasi yang telah digunakan di Hospital Besut bermula 12 Januari lepas itu, katanya menerima maklum balas positif daripada petugas hospital yang menyifatkan ia memudahkan tugas mereka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Zahari berkata, inovasi tersebut dibangunkan oleh pensyarah dan tiga pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) Politeknik Besut.

"Pada Disember tahun lepas, inovasi hasil penyelidikan dan pembangunan yang memakan masa enam bulan ini memenangi Anugerah Emas pada Program Pameran dan Inovasi Projek Pelajar anjuran Jabatan Teknologi Maklumat Politeknik Besut, yang menampilkan para juri daripada pemain industri dan pensyarah daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Aplikasi ini julung kali dihasilkan oleh politeknik di negara ini untuk kegunaan hospital dan ia menggambarkan kolaborasi erat antara Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti bersama Hospital Besut dalam mencari penyelesaian inovatif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok