
Lahir bakat profesional pelancongan rekreasi bawah laut
Seramai 12 pelajar Politeknik Muadzam Shah berjaya menyempurnakan latihan selam skuba melalui program Dare to Dive 7.0 di Salang House Reef, Pulau Tioman, Pahang.
Program tahunan yang kini memasuki edisi ketujuh itu, sebahagian daripada kerja kursus Marine Recreational Tourism dalam bidang Diploma Pelancongan Rekreasi.
Dare to Dive 7.0 bukan sekadar program latihan menyelam, ia merupakan medan pembangunan kemahiran sebenar dalam bidang pelancongan rekreasi marin yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
Sepanjang aktiviti, pelajar didedahkan kepada aspek keselamatan semasa menyelam, pemahaman mengenai biodiversiti marin dan pengurusan aktiviti pelancongan berasaskan air secara bertanggungjawab serta mampan.
Penyelaras program, Mohd Rahimi Mohd Shahimi berkata, pelaksanaannya merupakan pendekatan berimpak tinggi bagi membina kecekapan teknikal dan daya tahan mentak pelajar.

“Ia selari dengan keperluan industri pelancongan rekreasi masa kini. Kita mahu pelajar bukan sahaja memperoleh sijil, tetapi juga menghayati nilai-nilai pelestarian alam sekitar dan memahami potensi sebenar dalam bidang ini,” katanya.
Dare to Dive 7.0 telah membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta bersedia untuk menghadapi cabaran dunia sebenar industri pelancongan rekreasi.
Dijalankan dengan kerjasama P44irate Scuba (SDI) diketuai oleh Course Director (CD) Muhammad Firdaus, program berkenaan telah menyaksikan lapan pelajar dianugerahkan Lesen Open Water (OWC).
Manakala empat orang lagi menerima Sijil Discover Scuba Diving (DSD) iaitu sebuah pengiktirafan asas yang membolehkan mereka meneruskan latihan ke tahap seterusnya.