Mahasiswa diingatkan patuhi arahan pihak berkuasa ketika musim banjir- Profesor Dr Shahimi Mohtar
Bencana banjir yang sedang melanda di beberapa buah negeri ketika ini telah mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.
Peristiwa atau bencana tersebut bukannya sesuatu yang boleh diambil dan dipandang ringan kerana jika tidak berhati-hati ia bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan harta benda malahan juga mendatangkan ancaman kepada nyawa manusia.
Atas sebab itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Shahimi Mohtar memberi peringatan kepada mahasiswa UUM yang sedang bercuti supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa ketika musim banjir.
Jelas Shahimi, mahasiswa UUM juga diingatkan agar selalu berwaspada dan bersedia dengan sebarang kemungkinan jika kawasan tempat tinggal mereka mula dinaiki air.
“Sekiranya mendapat arahan pihak berkuasa untuk berpindah kerana terlibat dalam banjir maka patuhinya dengan segera.
“Peringatan ini diberikan kerana kita bimbang dengan keadaan semasa yang dilaporkan berlaku di beberapa negeri terlibat dengan banjir antaranya Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka di mana kini angka mangsa terlibat mencecah 29,000 orang.
“Jika ada warga UUM sama ada staf atau mahasiswa yang terlibat dengan bencana yang sedang melanda negara ini memerlukan bantuan atau nasihat mereka boleh menghubungi universiti,” jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu kata Shahimi, warga kampus dinasihatkan supaya menjaga kesihatan masing-masing sepanjang tempoh cuti semester universiti yang bermula 26 Februari lalu.
“Warga kampus juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga keselamatan terutama ketika cuaca tidak menentu kini,” katanya.