Mahasiswa UNIMAS, UNTAN dekati masyarakat desa Kalimantan Barat
Seramai 48 mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universitas Tanjungpura (UNTAN) mendekati masyarakat desa di Kalimatan Barat, Pontianak, Indonesia baru-baru.
Projek Service Learning University (SULAM) dan Global Classroom UNIMAS yang bertemakan The Beauty of Mangrove berlangsung selama tujuh hari dan ia diadakan untuk memberi pendedahan mengenai kepentingan hutan paya bakau kepada masyarakat setempat terutama mereka yang menetap berhampiran hutan bakau di Kalimantan Barat.
Ketua projek SULAM dan Global Classroom Akuaktik, UNIMAS, Dr Farah Akmal Idrus berkata, dua desa telah dipilih dalam pelaksanaan projek terbabit iaitu Desa Sungai Kupah, Kecamatan Sungai Kakap, Kabupaten Kubu Raya dan Desa Pasir, Kecamatan Mempawah Hilir, Kabupaten Mempawah.
"Lebih kurang 30 golongan ibu-ibu menyertai projek di Desa Sungai Kupah manakala kira-kira 50 pelajar dari enam buah sekolah menengah atas (SMA) pula mengambil bahagian di Desa Pasir.
"Mahasiswa-mahasiswa dari UNIMAS dan UNTAN berganding bahu menyediakan serta memberikan khidmat masyarakat kepada penduduk di desa terpilih ini,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Selain Farah, pensyarah pengiring dari UNIMAS adalah Profesor Madya Dr Khairul Adha A Rahim, Dr Ahmad Shafiq Ahmad Nasir dan Dr Lidyana Roslan.
Projek berkenaan merupakan anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), UNIMAS, Malaysia bersama Fakultas Kehutanan, UNTAN, Indonesia yang menerima tajaan Pertamina Indonesia.
Beliau menjelaskan, sebanyak tiga kuliah telah disampaikan kepada semua mahasiswa sebelum projek SULAM dijalankan supaya semua pelajar bersedia sebelum turun ke lapangan
Tuturnya, ia berikutan terdapat tujuh aktiviti SULAM atau juga dikenali sebagai Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) di bawah program Merdeka Belajar Kampus Merdeka (MBKM) Internasional di Indonesia dirangka sepanjang berlangsung projek berkenaan.
"Antara pengisian yang dilaksanakan termasuk kepentingan peranan hutan bakau, teknik penanaman tumbuhan di hutan bakau, mengenalpasti jenis flora bakau, penghasilan sirap dan kraftangan ‘eco-print’ dari buah serta daun bakau.
"Selain itu, terdapat juga pendedahan mengenai penghasilan teh daun jeruju, manfaat tumbuhan bakau sebagai ubat-ubatan dan pengurusan hutan bakau sebagai lokasi eko-pelancongan," ujarnya.
Farah memberitahu, seramai 28 mahasiswa dari program Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sumber Akuatik, UNIMAS dan 20 mahasiswa program Kehutanan, UNTAN menyertai projek khidmat masyarakat terbabit.
Beliau menambah, melalui projek itu, mahasiswa UNIMAS dapat menyampaikan ilmu dan kemahiran yang dipelajari dalam kursus STA2043 Ekologi Bakau dan Muara kepada masyarakat desa.
"Ia sangat penting dalam usaha memulihara hutan bakau malah dapat memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai potensi eko-pelancongan yang mampu menjana ekonomi," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Rektor (Akademik) UNTAN, Dr Ir Radian berkata, program MBKM Internasional merupakan salah satu inisiatif memperkuatkan kerjasama antara universiti di Indonesia dengan universiti-universiti di luar negara dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan memperkasa masyarakat setempat.
"Program ini bukan hanya memberi peluang kepada mahasiswa-mahasiswa untuk mempelajari perkara baharu di persada antarabangsa tetapi meningkatkan kemampuan dalam memecahkan masalah sosial dihadapi masyarakat," ujarnya.
Sementara itu, Dekan Fakultas Kehutanan, UNTAN, Dr Ir Farah Diba berkata, projek SULAM dan PKM ini penting bagi memastikan masyarakat peka dan prihatin dalam memelihara hutan bakau agar dapat membendung tragedi bencana alam seperti tsunami.
"Pemeliharaan hutan bakau dapat mengelak tragedi seperti yang berlaku di Acheh bebe...