Mereka yang maut merupakan pelajar lepasan SPM dan baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih sebelum tragedi sedih itu berlaku.
Mereka yang maut merupakan pelajar lepasan SPM dan baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih sebelum tragedi sedih itu berlaku.

Bekas pelajar SMK Dato' Syed Omar meninggal dunia malam tadi! 'Mereka sahabat baik, baru sahaja selesai solat tarawih...'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
07 Mar 2025 02:44pm

"Pergi dalam bulan baik, di waktu doa diangkat dan rahmat ALLAH melimpah ruah," demikian catatan ringkas warga maya susulan kematian dua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Syed Omar, Alor Setar, Kedah malam tadi.

Muhammad Dhani Arumi Mohd Azlan dan Muhammad Danish Iqbal Mohd Niza masing-masing berusia 18 tahun, meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Tanjung Bendahara di sini.

Mangsa bersama tiga lagi rakan yang menaiki sebuah kereta dikatakan hilang kawalan dan terbabas hingga melanggar penghadang jalan.

Difahamkan, mereka yang maut merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih sebelum tragedi sedih itu berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, kemalangan yang berlaku membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki lima remaja lelaki berusia 18 tahun.

"Kenderaan yang dipandu dari arah Jalan Alor Mengkudu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu merempuh tiang elektrik, pokok kelapa dan hentian bas di lokasi.

"Akibat perlanggaran itu, semua penumpang termasuk pemandu tersepit dan terpaksa dikeluarkan dengan bantuan bomba.

"Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan dua daripadanya iaitu penumpang hadapan sebelah kiri dan penumpang belakang sebelah kiri maut di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Siti Nor Salawati berkata, tiga mangsa kemalangan telah cedera parah dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala dua yang meninggal dunia telah dibawa ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat.

Menurut beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bagaimanapun katanya, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

"Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai terutamanya saksi kejadian tersebut untuk tampil memberi keterangan di Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Ifzam Mohd Zaini di talian 04-7321222 / 012-4043373 bagi membantu siasatan," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp