Pengajar membantu peserta memahami penggunaan Bahasa Melayu lebih mendalam.
Pengajar membantu peserta memahami penggunaan Bahasa Melayu lebih mendalam.

Mahasiswa UUM bantu komuniti Wilayah Nakhorn Si Thammarat pelajari Bahasa Melayu

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
17 Mar 2025 01:09pm

Seramai 10 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencipta sejarah dengan menyumbang kepada usaha memperkaya masyarakat di wilayah Nakhorn Si Thammarat, Thailand, melalui pengajaran Bahasa Melayu.

Inisiatif berani berkenaan bukan sahaja menunjukkan semangat kesukarelawan mereka, malah mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.

Penasihat Persatuan Komunikasi (PERKOM UUM), Dr Mohd Zuwairi Mat Saad berkata, lokasi di wilayah itu dipilih kerana Masjid Ban Klang antara satu tempat pelajar menitikberatkan penguasaan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu.

Menurutnya, kebanyakan pelajar itu berasal daripada latar belakang masyarakat Patani yang mempunyai pertalian budaya dan serajah dengan Malaysia.

“Program ini bertujuan bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran bahasa Melayu, yang boleh membuka lebih banyak peluang pendidikan dan pekerjaan di Malaysia serta rantau Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Selain itu Wilayah Nakhorn Si Thammarat dipilih kerana ia merupakan satu Kota Ligor Melayu.

“Penduduk Muslim Nakhon membentuk komuniti minoriti dan mereka berketurunan Melayu.

“Bagi memperkukuhkan lagi komposisi penduduk minoriti ini, satu program yang diberi nama Global Academic and Volunteer Trips:Thailand 2025 (Go-Thai’25) diadakan dalam usaha membantu dan memperkukuhkan Bahasa Melayu terhadap golongan minority di Wilayah Nakhon Si Thammarat,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

10 mahasiswa UUM bergambar bersama peserta yang terlibat sebagai kenangan.
10 mahasiswa UUM bergambar bersama peserta yang terlibat sebagai kenangan.

Sementara itu, Pengarah program berkenaan, Muhammad Shafiq Junizudin berkata, hampir 120 pelajar di Masjid Ban Klang yang terlibat dengan aktiviti tersebut.

Katanya, mereka yang terlibat berumur antara sembilan hingga 16 tahun yang belajar di sekolah pondok dan mempunyai asas Bahasa Melayu.

“Mereka memerlukan lebih banyak latihan dalam komunikasi dan tatabahasa untuk meningkatkan kefasihan masing-masing.

“Penerimaan komuniti sangat positif dan menggalakkan menyebabkan pelajar dan tenaga pengajar amat menghargai usaha ini kerana memberi peluang untuk berlatih berkomunikasi dalam bahasa Melayu secara langsung dengan penutur asli,” katanya.

Program Go-Thai 2025 bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan komuniti di Thailand, tetapi juga membolehkan mereka merasai pengalaman budaya, pendidikan dan keindahan alam semula jadi yang sangat berharga.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp