No Image Caption

Mahasiswa UUM dalami sejarah, kehidupan masyarakat Songkhla

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
11 Nov 2024 11:00am

Dalam mengangkat agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pemerkasaan mahasiswa tidak hanya terhad dalam kampus.

Seorang pemimpin masa hadapan seharusnya mampu menyesuaikan diri dalam setiap budaya dan gaya hidup masyarakat yang dikunjungi.

Menyahut seruan itu, seramai 15 orang mahasiswa Inasis TNB telah mengadakan program 'Sawadeeka PSU: UUM X PSU Student Mobility' di kawasan Hatyai dan Songkhla, Thailand pada 25 hingga 28 Oktober lalu.

Program kolabrasi antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Prince of Songkhla University (PSU) itu disifatkan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan secara tidak langsung menjadi medium perkongsian dua hala tentang pemerkasaan mahasiswa, pertukaran budaya dan kelestarian alam.

Pengarah program yang juga merupakan mahasiswa tahun kedua Ijazah Sarjana Undang-Undang UUM, Mirza Hidayat berkata, pendedahan tentang sejarah Songkhla ini membuka mata para pelajar tentang sisi lain kota berkenaan yang sering dipamerkan di media sosial sebagai sebuah kota pelancong membeli-belah.

"Sisi ini yang sepatutnya diketengahkan bagi mengangkat budaya masyarakat Songkhla yang majmuk," katanya.

No Image Caption

Sementara itu, Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar dan Alumni PSU, Profesor Madya Dr Wirote Youravong berkata, kolaborasi antara UUM dan PSU menguatkan lagi hubungan sedia ada antara dua buah institusi dalam kemenjadian mahasiswa di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Pengetua Inapan Siswa Tenaga Nasional Berhad, Profesor Madya Dr Rohani Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada PSU di atas kesudian menerima kunjungan delegasi UUM dan mengharapkan kerjasama tersebut tidak terhenti di situ.

"Ia demi memacu perkongsian budaya kedua-dua universiti ini," katanya.

No Image Caption

Untuk rekod, pelbagai aktiviti disusun rapi bagi memastikan program mobiliti itu mampu menjadi platform perkongsian budaya dan pendedahan kehidupan masyarakat Songkhla.

Para peserta juga diberi peluang menziarahi Kota Lama Songhkla bagi melihat usaha masyarakat setempat bagi mengiktiraf Songkhla sebagai sebuah kota bersejarah.

Selain itu, mereka juga merasai pengalaman menaiki bot di Sungai Songkhla bagi menyaksikan upacara tradisional masyarakat tempatan.

Kota Lama Songkhla yang dipenuhi dengan sejarah kesatuan tiga buah agama utama, Islam, Hindu dan Budha ini menjadi bukti utama kepada masyarakat dunia tentang asimilasi budaya yang pelbagai.

Program mobiliti itu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), matlamat ke-14, Kehidupan di Bawah Air dan matlamat ke-15, Kehidupan di Darat.

Para peserta diberi peluang menanam pokok paya bakau di Taman Bersejarah Jeneral Prem Tinsulanoda sekali gus membantu memelihara ekosistem bagi mengelak berlaku hakisan tanah.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp