Majlis iftar PMS bantu ringankan beban kos sara hidup para penuntut
Aktiviti berbuka puasa yang dianjurkan di kebanyakan institut pengajian tinggi (IPT) sempena bulan Ramadan dilihat sebagai aktiviti yang cukup bermanfaat dalma usaha meringankan beban kewangan penuntut masing-masing.
Sebagai contoh, Pusat Islam, Politeknik Muadzam Shah (PMS), Pahang, tidak ketinggalan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama mahasiswanya bagi meringankan beban sepanjang Ramadan.
Pengerusi Pusat Islam PMS, Ustaz Mohd Taha Rulam Ahmad berkata, program Iftar@Pusat Islam adalah antara usaha meringankan kos sara hidup penuntut yang berada di dalam kampus semasa bulan puasa ini.
"Atas inisiatif pelbagai pihak, kita berjaya menyediakan menu kepada 200 penuntut untuk bersama-sama staf dan warga PMS lain menikmati juadah berbuka puasa.
"Apa yang dilihat menerusi program ini adalah kemeriahan dan keceriaan pada wajah semua mahasiswa yang terlibat.
"Masing-masing teruja berkongsi pengalaman dan ada antaranya berkata, situasi berbuka beramai-ramai ini bagaikan dapat ‘melepaskan rasa rindu’ berbuka puasa bersama ahli keluarga di kampung halaman," ujar Ustaz Mohd Taha.
Bagi Ketua Felo Kediaman Pelajar PMS, Ustaz Ramli Omar, usaha yang diambil oleh Pusat Islam dalam menyediakan menu berbuka puasa kepada penuntut adalah satu langkah positif dalam memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk berbuka puasa beramai-ramai.
"Selain kemeriahan berbuka puasa bersama-sama, saya turut tertarik dengan kehadiran penuntut bukan Islam yang turut sama menyertai majlis iftar bagi meraikan rakan-rakan mereka.
"Ini satu senario yang begitu menarik dan seharusnya sentiasa dihidupkan dalam kalangan mahasiswa pelbagai bangsa dan agama kerana ia mampu memberikan gambaran kehidupan sebuah masyarakat kampus yang saling hormat-menghormati dan bertoleransi. Tahniah Pusat Islam PMS atas usaha murni ini," jelasnya.
Sementara itu, penuntut Kejuruteraan Mekanikal Semester Tiga, PMS, Tamilkumahran Magandran berkata, kebersamaan dalam meraikan bulan Ramadan bersama rakan-rakan Islam membuatkan dirinya tidak pernah berasa terpinggir.
Malah peluang bertugas sebagai pembantu dalam menyediakan hidangan menu berbuka dan sama-sama menikmati majlis iftar atas dasar saling meraikan antara sama lain akan dikenang sampai bila-bila.
Tamilkumahran yang juga Exco Majlis Perwakilan Pelajar MPP dan merupakan antara mahasiswa bukan Islam tidak pernah ‘menguzurkan’ diri bagi membantu menjayakan program iftar di Pusat Islam.
"Ini adalah antara ciri unik yang terhasil di kampus PMS yang berjaya membentuk jiwa penuntutnya agar sentiasa bersikap hormat-menghormati antara satu sama lain.
"Syabas dan teruskanlah usaha murni ke arah mewujudkan masyarakat kampus yang menjunjung nilai hidup berharmoni," katanya.