Majlis Konvokesyen Kumpulan MSU College ke-28 rai 269 graduan
Seramai 269 graduan daripada 20 program pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen Kumpulan MSU College (MSUC) ke-28, pada 9 Disember lalu.
Presiden Kumpulan MSU College, Professor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, daripada jumlah itu, seramai 125 graduan diploma manakala 144 lagi graduan peringkat sijil.
Beliau berkata, Diploma Pengurusan menjadi kohort graduan terbesar dengan 154 orang menerima skrol masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor, Management and Science University (MSU) di sini.
“Dua kategori khas anugerah kecemerlangan turut dianugerahkan kepada tujuh graduan sebagai pengiktirafan atas pencapaian keseluruhan mereka dalam aspek akademik dan kemahiran insaniah.
“Graduan Diploma Pengurusan dari MSU College Seremban Muhammad Taqiuddin Rashidan menjadi penerima Anugerah Emas Presiden.
“Beliau yang kini melanjutkan pelajaran di MSU bagi program Bachelor in Human Capital Management (Hons) adalah pelajar aktif terbabit dalam pelbagai aktiviti ko-kurikulum, khususnya sebagai Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar dan Presiden Kelab Fasilitator MSU College Seremban.
“Enam graduan pula menerima Anugerah Akademik iaitu Farisha Iwani Zulkarnain (Diploma Pengurusan, MSU College Terengganu); Muhammad Faiq Fadzli (Diploma Reka Bentuk Grafik, MSU College Sungai Petani); P Rimeesha Sri (Diploma Teknologi Maklumat); S Thavaanithan (Sijil Sains Komputer, MSU College Shah Alam); Nur Atikah Rapiee (Sijil Operasi Hotel dan Katering, MSU College Shah Alam) serta V Angelena Florence (Sijil Pengurusan Perniagaan, MSU College Shah Alam),” katanya pada Majlis Konvokesyen Kumpulan MSU College ke-28.
Hadir sama ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid dan pegawai pengurusan tertinggi MSU dan MSU College.
Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, selaku kolej satelit kepada MSU, Kumpulan MSU College berperanan menyediakan akses pendidikan menyeluruh kepada semua dalam melahirkan graduan yang kompeten dan versatil dengan penekanan kepada elemen Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan menerusi School of Science and Technology (SST) dan School of Hospitality, Education and Business (SHB).
Katanya, melalui 10 kampus dan satu pusat pembelajaran, Kumpulan MSU College selaku pusat penilaian (APEL) kepada MSU turut memainkan peranan proaktif dalam menyediakan pendidikan tinggi berkualiti dan berimpak tinggi apabila menawarkan program pengajian peringkat ijazah sarjana muda MSU secara pembelajaran fleksibel sama ada melalui mod bersemuka, hybrid dan dalam talian kepada pelajar termasuklah mereka yang sudah bekerja.