Taylor's College rai kepentingan bermain dalam perkembangan kanak-kanak
Menyedari bahawa perkembangan menyeluruh kanak-kanak turut membabitkan aktiviti bermain telah mengilhamkan satu acara menarik iaitu Play and Learn.
Program anjuran Taylor's College itu memfokuskan aktiviti pembelajaran berasaskan permainan dan interaksi untuk kanak-kanak di sekitar Lembah Klang. Pengarah Kampus, Taylor’s College, Josephine Tan berkata, acara yang dikendalikan oleh para akademik dan pelajar program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DECE) itu turut meraikan Hari Kanak-Kanak Sedunia.
Menurut Josephine, inisiatif itu mengukuhkan komitmen Taylor’s College terhadap pendidikan awal kanak-kanak dan keterlibatan masyarakat.
"Selaras tema UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) untuk Hari Kanak-Kanak Sedunia, For Every Child, Every Right, acara Play and Learn menampilkan zon-zon interaktif yang direka bagi menggalak perkembangan holistik pada peringkat awal mereka melalui bermain, dengan fokus khusus hak untuk kebebasan berekspresi menggunakan pelbagai modal deria.
"Zon-zon ini menawarkan aktiviti seperti permainan deria, messy play dan permainan fizikal yang melibatkan pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak termasuk kemahiran kognitif, sosial, emosi dan fizikal.
"Acara ini menekankan peranan penting bermain dalam perkembangan kanak-kanak, bagaimana ia merangsang pertumbuhan otak, meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah, merangsang kreativiti dan mengajar kemahiran sosial seperti perkongsian dan empati," katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Josephine berkata, bermain juga membantu kanak-kanak meluahkan emosi, membina daya tahan, membangunkan kebolehan fizikal dan meningkatkan keyakinan diri untuk membentuk kemahiran asas yang penting untuk kejayaan masa depan.
Pengetahuan
WePlay, Play and Learn menyediakan peluang berharga buat pelajar DECE menerapkan pengetahuan bilik darjah dalam suasana dunia sebenar.
Para pelajar memainkan peranan aktif dalam merancang dan mengendalikan pelbagai zon interaktif untuk mencipta pengalaman yang bermanfaat. Dengan bimbingan pensyarah, pengalaman ini membolehkan pelajar DECE mengamalkan penglibatan kolaboratif dengan keluarga dan komuniti, memperdalam pemahaman mereka tentang jenis interaksi yang memperkayakan landskap pendidikan serta menyokong pendekatan holistik terhadap perkembangan awal kanak-kanak.
“Pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembelajaran sepanjang hayat.
“Di Taylor’s, kami memberi keutamaan kepada keperihatinan dan pendekatan yang berteraskan komuniti, di mana pelajar DECE kami bukan sahaja memperoleh pengetahuan akademik dan pengalaman praktikal tetapi juga secara aktif berinteraksi dengan komuniti. Komitmen ini memperlihatkan dedikasi kami dalam melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dan bersedia untuk kerjaya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta memberi sumbangan bermakna,” kata Josephine lagi.
Acara Play and Learn turut dihadiri oleh kanak-kanak berusia antara empat dan lapan tahun dari pusat pendidikan kanak-kanak awal dan pusat komuniti. Mereka terdiri daripada komuniti Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Kampung Lindungan (Desa), Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta rakan kongsi Taylor’s untuk pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning).
Acara turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa watak animasi terkenal, Anna & Hanna, yang mempersembahkan nyanyian penuh pendidikan bersama kanak-kanak.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata, Play and Learn adalah inisiatif yang menghayati pepatah, ‘seisi kampung untuk membesarkan seorang anak’ – prinsip yang mendasari perkembangan awal kanak-kanak.
"Acara ini mengukuhkan komitmen kita untuk menyokong program pendidikan yang memberdayakan pembelajaran kanak-kanak dan kami bangga melihat institusi tempatan seperti Taylor’s College mencipta peluang secara aktif bagi anak-anak kita untuk belajar dan berkembang," katanya.
Untuk rekod, program DECE di Taylor’s College menawarkan kurikulum selama dua setengah tahun yang direka untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan asas, kompetensi dan nilai-nilai untuk kerjaya yang berjaya dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Pelajar menikmati suasana pembelajaran yang unik di Taylor’s Centre for Childhood Development and Innovation (CCDI), membolehkan mereka belajar melalui amalan praktikal yang mempersiapkan mereka dengan keyakinan dan kepakaran yang diperlukan dalam bidang mereka.
Program ini juga mengintegrasikan model pembelajaran praktikum dan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) yang membenamkan pelajar dalam pengalaman praktikal untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan melalui kerjasama dengan prasekolah tempatan.