Manifesto Siti Nur Asyerra mencuri perhatian masyarakat.
Manifesto Siti Nur Asyerra mencuri perhatian masyarakat.

Manifesto pelik bawa kemenangan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
17 Jan 2024 11:52am

Jarang kita dengar manifesto pelik sebegini. Sekali fikir, memang tidak logik. Tapi siapa sangka, perkara unik itulah yang menjadi perhatian ramai.

‘Pengagihan deodoran kepada penuntut yang mempunyai masalah bau badan’ merupakan manifesto luar biasa mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Siti Nur Asyerra Wasli dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UMS, baru-baru ini.

Namun, kepelikan itulah yang membawa kemenangan kepada beliau sekali gus layak menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS.

Siti Nur Asyerra yang berasal dari Kampung Lohan Satu Ranau, Sabah terkejut atas kemenangan itu dan berjanji akan menunaikan manifestonya secara berkala kepada penuntut UMS.

“Deodoran akan diagihkan secara ambil sendiri (self pick-up) di lokasi yang akan dimaklumkan malah saya akan cuba berikan yang terbaik sepanjang pelaksanaannya.

“Ketika ini, saya fokus mencari lebih banyak penaja dan proses persetujuan masih hitam putih bersama beberapa syarikat. Insya-ALLAH, saya cuba memperhalusi lagi proses pemberian deodoran kepada mahasiswa di UMS,” ujarnya yang merupakan penuntut Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan di universiti terbabit.

Selain manifesto deodoran yang meraih perhatian ramai, Siti Nur Asyerra turut mengetengahkan manifesto keduanya dalam PRK UMS iaitu memperkasakan sistem Mentor-Mantee pelajar.

Dengan kemenangan gadis kecil molek ini, Sinar Bestari berharap beliau mampu menjadi pemimpin mahasiswa yang adil, bijaksana, berani dan sentiasa memberi kerjasama baik kepada penuntut di UMS nanti.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp