Mustapha ketika melawat UMS yang ketika ini berhadapan dengan masalah bekalan air.
Mustapha ketika melawat UMS yang ketika ini berhadapan dengan masalah bekalan air.

UMS: Empat sumber air dikenal pasti untuk penyelesaian jangka pendek

13 Jan 2024 11:19pm

Terdapat empat sumber air telah dikenal pasti di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi mendapatkan sumber air untuk menampung seterusnya menyelesaikan isu itu di universiti tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sumber air yang bakal diperoleh itu hanya sebagai penyelesaian sementara bagi membantu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) membekalkan air kepada UMS.

Menurutnya, hasil pembentangan pihak geologi UMS telah mengenal pasti empat sumber air di sekitar universiti tersebut untuk dijalankan proses penggerudian.

"Apabila kita memastikan bahawa sumber air ini memang mencukupi, kita akan buat proses penggerudian, baru buat loji penapis dan sistem perpaipan kepada hostel-hostel pelajar.

"Namun, apa yang kita buat di sini hanyalah solusi jangka masa pendek untuk membantu jabatan air dan ia hanya untuk UMS saja sebab kita tahu sumber air ini juga berkongsi dengan penduduk sekitar UMS.

"Tetapi sumber air daripada jabatan air tidak dapat menampung dan kita di UMS terpaksa menampung keperluan pelajar dan pensyarah yang bekerja sini iaitu seramai 20,000 orang di mana memerlukan sebanyak 50 juta liter air setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai pengalian telaga tiub di Bilik Pustaka Mini Kolej Kediaman Tun Pangiran Ahmad Raffae, UMS, pada Sabtu.

Tambah Ahli Parlimen Sepanggar itu lagi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi keutamaan kepada projek tersebut sebagai usaha penyelesaian jangka pendek di UMS ini.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Kita akan letakkan dalam 'quadrant urgent important' kerana perkara ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta saya sendiri.

"Perkara ini juga kita akan jadikan laporan mingguan dalam mesyuarat dan saya mahu laporan diberikan setiap minggu kepada KPT supaya kita dapat monitor projek berkenaan dan dapat dilaksanakan mengikut garis masa ditetapkan," katanya.

Jelasnya lagi, peruntukan sebanyak RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini digunakan untuk proses menggali telaga tersebut manakala RM2 juta lagi yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi adalah untuk sistem perpaipan.

"Peruntukan itu disalurkan kepada Unit Pelaksanaan Penyelarasan (ICU) dan bukan kepada UMS.

"Saya mahu maklumkan bahawa tidak ada unsur yang tidak memenuhi tatakelola dan isu bajet memang dibuat dan digunakan sebaiknya mengikut prosedur kewangan yang ditetapkan," tegasnya.

Sehubungan itu, Mustapha berkata, pihaknya juga berharap penyelesaian jangka masa panjang daripada JANS untuk menanggani masalah air di kawasan Sepanggar.

"Saya minta JANS dapat membantu untuk memberi solusi jangka masa panjang. Ini di bawah tanggungjawab jabatan air dan saya minta kerajaan Sabah juga dapat memantau perkara ini dan pastikan bahawa jabatan air akan dapat melaksanakan program projek tambahan untuk air," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp