Mantap kemahiran peserta dalam rawatan awal
Seramai 28 Pegawai Kadet Sispa (PKS) dari PKS Pertengahan Kor Sispa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor mengikuti latihan First Responder Life Support (FLRS), baru- baru ini.
Tujuan pelaksanaan untuk memantapkan lagi pengetahuan dan kemahiran para peserta dalam memberi bantuan awal kepada orang awam merangkumi kes kecemasan dan kemalangan.
Sepanjang FLRS berlangsung, beberapa latihan telah dilakukan seperti kemahiran Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR), penggunaan peralatan Automated External Defibrillator (AED), tercekik, luka dan pendarahan, kepatahan, balutan dan sebagainya.
Menurut Ketua Progam latihan, PKS Senior Nur Faraliyana, objektif program memberi pengetahuan secara teori dan praktikal mengenai teknik asas bantuan FRLS kepada peserta.
“Sejujurnya, tugas ini adalah tanggungjawab besar bagi memastikan mereka mengetahui kepentingan dalam memberi bantuan dan rawatan awal kepada mangsa,” ujarnya.
PKS Pertengahan Muhammad Hidayat Sulaiman pula berkata, banyak pendedahan dan ilmu baharu diperoleh sepanjang mengikuti kursus berkenaan.
“Secara peribadinya, latihan FRLS sangat bermakna kerana melaluinya, saya dan peserta lain mendapat pengalaman secara praktikal terutamanya latihan CPR dan tercekik secara ‘hands-on’.
“Kemahiran ini penting untuk dikuasai kerana melibatkan nyawa mangsa ketika memberi bantuan atau rawatan awal,” jelas beliau.