Setiap mahasiswa perlu mempunyai sifat kemampanan dalam diri dengan mengekalkan pencapaian yang baik di dalam kuliah dan sentiasa bersedia menghadapi ujian serta cabaran hidup sepanjang bergelar penuntut.
Setiap mahasiswa perlu mempunyai sifat kemampanan dalam diri dengan mengekalkan pencapaian yang baik di dalam kuliah dan sentiasa bersedia menghadapi ujian serta cabaran hidup sepanjang bergelar penuntut.

Membentuk mahasiswa Madani

11 Aug 2023 12:26pm

Konteks mahasiswa membangunkan mahasiswa yang memiliki nilai Madani pada hari ini cukup luas untuk dibincangkan kerana mereka sudah dikelilingi dengan norma sosial yang mempengaruhi kehidupan seharian.

Madani membawa maksud maju dari sudut pemikiran dan ilmu, mengamalkan nilai-nilai murni serta mempunyai kekuatan kerohanian yang merupakan tunjang utama dalam menjadikan masyarakat maju, harmoni juga sejahtera khususnya dalam membentuk jati diri mahasiswa lebih unggul dan holistik.

Berdasarkan enam elemen Madani yang diterapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, boleh disimpulkan mahasiswa perlu mempunyai sifat kemampanan dalam diri dengan mengekalkan pencapaian yang baik di dalam kuliah dan sentiasa bersedia menghadapi ujian serta cabaran hidup sepanjang bergelar penuntut.

Melalui sifat kemampanan tersebut, mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik bahkan mempunyai kemahiran dan kemampuan tertentu iaitu kemahiran teknikal (hard skill) dan kemahiran insaniah (soft skill) sebagai persediaan menghadapi realiti kehidupan yang sebenar di luar sana.

Sebagai contoh, kemahiran teknikal merangkumi Adobe Photoshop, Adobe Illustrator, Microsoft Office (Word, Excel, Outlook, PowerPoint, Publisher, Access) dan Web Development.

Manakala untuk kemahiran insaniah pula meliputi bijak menyelesaikan masalah, kritis dalam berfikir, mampu berkomunikasi dengan baik dan mahir dalam pengucapan awam.

Selain itu, saranan aspirasi daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahukan mahasiswa menerapkan juga elemen kemahiran pintar (smart skill) dan kemahiran tajam (sharp skill) di dalam diri bagi melengkapkan mahasiswa yang cemerlang wajar dipuji.

Kemahiran pintar yang dimaksudkan adalah kemahiran sosial, kebolehsuaian dan kemahiran bahasa asing manakala kemahiran tajam merangkumi kemahiran teknikal dan digital serta kemampuan analitik.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, setiap mahasiswa perlu mengamalkan nilai kesejahteraan dalam diri dan berupaya mencipta pelbagai pembaharuan bagi melahirkan sosok mahasiswa berdaya cipta serta mempunyai peribadi mulia.

Ia bagi menjadikan penuntut itu mempunyai kemahiran dan disiplin diri ke arah bersifat profesional.

Seorang penuntut juga seharusnya menerapkan sifat hormat kepada orang yang lebih tua, yakin dalam setiap perbuatan dan tindakan supaya tidak berlaku kesalahan sia-sia serta memiliki belas ihsan terhadap rakan sekeliling.

Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) misalnya, elemen Madani ini sebenarnya sudah diadaptasikan melalui Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff yang menyarankan budaya BAIKK iaitu Bangga (B), Adab (A), Ilmu (I), Keluarga (K) serta Kreativiti dan Inovasi (K) bagi meningkatkan lagi sahsiah, akademik dan perwatakan mahasiswa yang lebih mantap.

Katanya, elemen Madani itu sewajarnya dijadikan amalan dalam kehidupan seharian mahasiswa.

Maklumat Penulis

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UPSI, Nik Ahmad Nuri Nik Ismail

Nik Ahmad
Nik Ahmad

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp