Sudah tiba masanya kita memahami sains untuk memperjelaskan sekecil-kecil fenomena. Gambar kecil: Zul Ilham.
Sudah tiba masanya kita memahami sains untuk memperjelaskan sekecil-kecil fenomena. Gambar kecil: Zul Ilham.

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

30 Mar 2024 08:00am

Dalam era kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah satu lumrah, apa yang pasti ialah kita tidak boleh terus sentiasa menolak arus perubahan.

Mahasiswa kini mempunyai pandangan yang berlainan terhadap pengalaman pengajian tinggi yang ingin dijalani dan nilai-nilai yang dimahukan adalah berlainan. Zaman di mana pengajian satu hala dijalankan telah lama berlalu, teraruh kepada pengajian yang lebih kolaboratif dan interaktif.

Para mahasiswa masa kini dan akan datang, adalah generasi yang berjaya melalui pandemik global dan merupakan generasi yang sentiasa dibayangi cabaran perubahan iklim dan turun naik ekonomi.

Di samping itu, generasi sekarang juga paling terdedah kepada ketidaktentuan pasaran pekerjaan dan peralihan ke ekonomi gig. Dalam keributan ini, pengajian sains semakin terhimpit dan hilang daripada tumpuan bakal mahasiswa sebagai pilihan pertama.

Pandemik telah merobohkan benteng kesukaran untuk berubah dalam kalangan warga universiti dengan normalisasi revolusi pendidikan dalam talian dan merubah persepsi kolot berkenaan pengalaman pengajian di menara gading.

Di rantau ini juga, transformasi sains giat berlaku dan ia menjadi hab bakat dan inovasi dalam bidang sains, teknologi dan penyelidikan.

Negara-negara Asia mula menyedari bagaimana sains, penyelidikan dan inovasi dapat menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi dan meningkatkan pelaburan bagi membina ekosistem tersebut.

China, India, Malaysia, Jepun, Singapura dan Korea Selatan adalah antara negara yang bukan sahaja menarik bakat global, malah menggilap bakat sains tempatan dalam bidang termaju seperti kepintaran buatan, bioteknologi, sains bahan, bioperubatan, pertanian serta tenaga boleh baharu.

Artikel Berkaitan:

Tambahan pula, peranan Asia sebagai pemain aktif dalam hubungan antarabangsa melalui Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) meransang inisiatif pertukaran ilmu pengetahuan di kalangan negara-negara anggota.

Perkongsian maklumat, sumber, data dan kepakaran memudahkan negara anggota menjalankan kerjasama dalam menangani masalah serantau seperti penurunan kualiti udara, lambakan plastik sekali guna dan perubahan iklim.

Seperti mana yang pernah dikupas Jeneral Bersara George William Casey Jr merupakan pensyarah kanan ulung dalam bidang kepimpinan di Universiti Cornell Amerika Syarikat melalui siri kuliahnya, situasi ketidaktentuan global sering menjadikan kita keliru dan berdiam diri tidak melakukan apa-apa tindakan.

Dalam situasi itu, senario semasa terlalu sukar difahami dan menjadikan perancangan jelas ke hadapan tidak dapat dilakukan. Untuk berjaya, tindakan yang berkesan perlulah dilaksanakan.

Negara seperti India membawa semangat ini dengan bercita-cita tinggi memulakan penerokaan angkasa kos rendah untuk membantu negara mereka mengatasi masalah pengurusan bencana, ramalan cuaca dan pendidikan luar bandar.

China pula, walaupun sering dikritik sebagai penyumbang terbesar gas karbon dioksida dunia, mengorak langkah signifikan dalam sektor tenaga boleh baharu terutamanya tenaga solar dan bayu.

Sarjana Hamka pula pernah menyebut bahawa masa depan sesebuah negara dapat dilihat melalui sikap golongan pemudanya dan apakah menara ilmunya masih terpelihara. Adalah amat merugikan jika mahasiswa yang dilahirkan hanya sesuai menjadi golongan pekerja dambaaan industri tanpa adab, akhlak dan ketinggian akal budi.

Untuk memastikan keseimbangan ini, Malaysia haruslah bijak dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi, terus-menerus mengemis ilmu berlandaskan ideologi barat. Bagaimanakah sains dapat membantu membangunkan masyarakat Madani?

Persoalan ini perlu dijawab kita semua dengan usaha merakyatkan sains dan memastikan ilmu sains bukan hanya sekadar terperangkap di makalah, malah didedahkan kepada masyarakat melalui perkaitan mudah dengan kehidupan seharian.

Sudah tiba masanya kita memahami sains untuk menjelas sekecil-kecil fenomena seperti kain jemuran yang disidai kering kerana air yang dikandung telahpun tersejat, pemindahan daya ketika mengibarkan Jalur Gemilang dan yang pastinya di mutakhir ini, pencerapan peredaran bulan untuk penentuan permulaan puasa dan di hari raya nanti.

Maklumat Penulis

Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains di Universiti Malaya, Profesor Madya Ts Dr Zul Ilham Zulkiflee Lubes

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp