Minat dalam bidang pengarahan filem, Akhmal cari peluang dan pengalaman bina kebolehan diri
Tidak mudah bagi seorang mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) untuk melibatkan diri dalam bidang penyiaran filem memandangkan ia melibatkan bajet yang agak tinggi dalam menghasilkan sesebuah karya.
Bagaimanapun, kesukaran itu dianggap sebagai satu semangat dalam menempuh kehidupan sebagai mahasiswa dan dalam masa sama menceburi dunia perfileman.
Biarpun menelan perbelanjaan yang besar, namun mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), Akhmal Rizal tetap mempunyai keinginan tinggi untuk melibatkan diri dalam bidang pengarahan filem dan kerja di belakang tabir.
Katanya, minat yang mendalam dari segi penyuntingan dan penghasilan video menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk terus berkarya walaupun sekadar suka-suka.
Saya memang minat menyunting, kerja di sebalik tabir penyiaran dan menghasilkan video-video pendek.
“Kadangkala kesukaan ini mendorong saya untuk menyertai beberapa pertandingan video pendek dan ia dijadikan sebagai pengalaman untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehan diri.
“Tidak hanya itu, saya juga berminat ke arah lakonan sama ada untuk filem atau teater,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam menghasilkan filem pendek, penuntut jurusan Komunikasi dengan major Penyiaran Televisyen itu memaklumkan, dia pernah terlibat dalam Projek Assignment Short Filem yang bertajuk •Jerat•.
Ujarnya, memandangkan ia hanyalah projek tugasan universiti, justeru kos yang dikeluarkan juga tidak banyak malah lokasi yang digunakan adalah di sekitar USM sahaja.
“Untuk sesi penggambaran filem pendek ini saya dan ahli kumpulan buat di sekitar USM dan hutan-hutan terdekat.
“Walaupun sebuah tugasan jurusan, namun bagi saya ia bukanlah satu kejayaan atau kepuasan sebenar memandangkan lebih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dalam bidang berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Akhmal turut memberitahu yang dirinya pernah terlibat dalam Filem Festival Anak Muda (FFAM) pada 2023 dan bertugas sebagai krew.
Melalui penglibatan tersebut, ia sedikit sebanyak membuka mata dan minda anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini untuk terus bersemangat dalam mencari peluang melalui kerjaya pengarahan.
•alah anak kedua dari dua beradik itu kini berusaha untuk menghasilkan karya bertemakan cinta yang diselitkan dengan kesempitan hidup.
“Memang penonton filem tanah air ini sudah sinonim dengan tema cinta tetapi saya merasakan satu jalan cerita yang bermain dengan perasaan dan kesusahan hidup perlu dihasilkan untuk memberi pembaharuan kepada industri perfileman,” akhirinya.
Kemahiran yang diperlukan sebagai pengarah filem
1 Kreativiti
Penglihatan dan imaginasi kreatif diperlukan untuk menjadikan sesebuah filem yang diusahakan dapat menarik minat penonton agar terus menyukai setiap karya dihasilkan.
2 Analisis filem
Pengarah hendaklah membuat analisis dari sudut sinematografi, bunyi dan penyuntingan sebelum menjalankan sesebuah karya atau filem.
3 Komunikasi
Seorang pengarah mestilah boleh berkomunikasi dengan semua pelakon serta krew produksi bagi membangkitkan sebuah persembahan yang hebat.
4 Kepimpinan dan pengurusan
Bijak mengatur dan membuat keputusan adalah contoh kebolehan pengurusan serta kepimpinan yang perlu dimiliki oleh mereka bergelar pengarah.
5 Teknikal
Pengetahuan teknikal adalah penting bagi pengarah filem untuk dapat memberi arahan atau bahkan mula memahami tuntutan artistik sesuatu projek.
6 Pendidikan dan latihan
Untuk menjadi pengarah filem dan membuat kerjaya yang baik dalam profesion ini, tiada kurikulum yang ditetapkan diperlukan. Namun begitu, sebarang pengalaman dunia sebenar atau akademik yang membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan atau teknikal.