No Image Caption

MMU dan KLFA meterai MoU tingkat bakat bola sepak

MOHAMAD AMREEL IMAN ABD MALEK
07 Sep 2023 01:39pm
A
A
A



Universiti Multimedia (MMU) buat julung kalinya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi meningkatkan lagi bakat bola sepak dalam kalangan mahasiswa kampus tersebut.

Menerusi memorandum itu, ia turut memberi peluang kepada pemain KLFA untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di MMU.

Menzahirkan rasa gembira atas kerjasama berkenaan, Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, perkara tersebut merupakan satu lonjakan yang besar buat pembangunan sukan di universiti berkenaan.

“Saya amat berbesar hati dengan kesediaan KLFA dalam membina hubungan kerjasama ini.

“Adalah menjadi harapan kami agar pemain bola sepak MMU mendapat latihan intensif yang membantu kampus muncul sebagai universiti swasta pertama menjuarai Liga Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi (IPT),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU tersebut pada Selasa.

No Image Caption



MoU itu ditandatangani antara Mazliham bersama Naib Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar di kampus MMU, Cyberjaya, Selangor.

Artikel Berkaitan:


Hadir sama, Naib Presiden Pengalaman Pelajar, Keusahawanan dan Pembangunan (SEED) MMU, Profesor Dr Wong Eng Kiong.

Terdahulu, Pasukan bola sepak MMU memperoleh kedudukan keenam dalam Liga Bola Sepak IPT Divisyen 1 dari Oktober 2022 hingga Februari 2023.

Pencapaian tersebut merupakan satu peningkatan yang baik berbanding tahun lalu di mana pasukan MMU berada di tangga kesembilan liga berkenaan.

Sementara itu, Syed Yazid pula berkata, MoU tersebut merintis kerjasama dalam usaha membangunkan bakat-bakat baharu dalam bidang bola sepak di IPT dan juga di peringkat tanahair pada masa depan.

Jelas beliau, ia bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak sama ada dalam pembangunan mahasiswa mahupun kemajuan sukan negara.

Tambahnya lagi, pihak KLFA berbesar hati ingin berkongsi kepakaran terutamanya dari sudut kejurulatihan, kecergasan, fisioterapi dan taktikal permainan bagi membantu pasukan MMU menjuarai sesuatu kejohanan bola sepak.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok