
MMU hulurkan duit raya kepada golongan memerlukan
Universiti Multimedia (MMU) menghulurkan sumbangan duit raya berjumlah RM71,400 kepada golongan memerlukan bagi membantu meringankan persiapan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Seramai 128 orang menerima sumbangan itu dalam majlis iftar yang diadakan di Surau Al-Hidayah, Kampus MMU Cyberjaya manakala 110 individu lagi menerima bantuan di Masjid Al-Irshad, Kampus Melaka.
Di Kampus Cyberjaya menyaksikan sebanyak RM38,400 telah diagihkan kepada para penerima yang terdiri daripada 118 pekerja sokongan sekitar Sepang, Dengkil dan Puchong serta 10 kakitangan MMU daripada keluarga B40.
Bagi Kampus Melaka, seramai 110 penerima warga Melaka yang terdiri daripada 11 kakitangan MMU dan 99 kakitangan sokongan turut menerima duit raya dengan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM33,000.
Setiap penerima atau keluarga menerima duit raya sebanyak RM300 yang disampaikan Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud.
Menurut Mazliham, bantuan berkenaan bertujuan membantu kumpulan penerima membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri.
"Dengan sumbangan kecil daripada MMU ini, kami berharap Aidilfitri yang bakal disambut mereka menjadi bertambah ceria," katanya dengan menambah bantuan tahunan ini dapat direalisasikan melalui dana zakat Yayasan Universiti Multimedia (YUM).

Sementara itu, pekerja am, Mohd Nazmi Md Said menzahirkan rasa syukur selepas menerima bantuan tersebut.
"Saya akan menggunakan sumbangan ini untuk membeli pakaian dan barangan keperluan dapur untuk keluarga.
"Terima kasih MMU. Sekurang-kurangnya, duit raya ini sedikit sebanyak dapat membantu menampung perbelanjaan rumah," katanya.
Pekerja penyelenggaraan, Nur Ain Nazirah menarik nafas lega kerana sumbangan yang diterimanya dapat digunakan untuk menampung kos perjalanan pulang ke kampung selain membeli baju raya.
"Alhamdulillah, duit raya ini sangat bermakna bagi saya kerana dapat menjadikan sambutan Aidilfitri lebih meriah dan bermakna," katanya.

Bantu pengajian mereka di universiti
Bank Islam (M) Berhad telah menyumbangkan wang zakat sebanyak RM10,000 kepada YUM dalam sebuah majlis yang diadakan di Kampus Cyberjaya.
Selain itu, Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT-TM) turut menghulurkan zakat wakalah berjumlah RM121,079 kepada 36 pelajar daripada keluarga B40 bagi membantu mereka dalam pengajian di universiti.
Sebagai makluman, majlis agihan sumbangan ini bertujuan mengeratkan hubungan antara MMU dan komuniti setempat.

Ia dianjurkan secara bersama oleh BAKIT Cawangan MMU, YUM, Pengurusan Modal Insan MMU, Surau Al-Hidayah dan Masjid Al-Irshad.
Lebih 1,000 kakitangan MMU, pelajar dan ahli komuniti telah menghadiri Majlis Iftar Perdana MMU 2025.
Hadir sama ialah Pengarah Perhubungan Pelanggan Negeri Selangor 3, Bank Islam (M) Berhad, Syahrun Nizam Mohammad dan Pengarah YUM, Ezwani Hanafi.