Iklan raya kini tampil dengan konsep lebih segar dan moden, tanpa mengenepikan nilai kekeluargaan yang merupakan inti pati sambutan hari raya.
Iklan raya kini tampil dengan konsep lebih segar dan moden, tanpa mengenepikan nilai kekeluargaan yang merupakan inti pati sambutan hari raya.

Iklan raya semakin moden tanpa pinggirkan tema kekeluargaan

30 Mar 2025 02:30pm

Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri tiba, salah satu perkara yang sering dinanti-nantikan oleh para penonton di seluruh negara adalah iklan-iklan raya yang menghiasi kaca televisyen.

Iklan-iklan ini mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri, bukan sekadar sebagai medium pemasaran bagi jenama-jenama terkenal, tetapi juga menjadi satu bentuk hiburan yang menggamit memori dan emosi hingga membawa para penonton ke dalam suasana penuh kehangatan dan kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat menyaksikan perkembangan idea dan jalan cerita yang lebih kreatif dan meluas dalam cara penghasilan iklan-iklan raya.

Malah yang lebih menariknya, iklan-iklan raya kini bukan lagi didominasi oleh syarikat-syarikat besar, tetapi juga sudah mula dihasilkan oleh syarikat-syarikat kecil dan persendirian.

Kreativiti dalam iklan raya kini tidak lagi terhad kepada gambaran suasana desa yang klasik atau gambaran tradisional seperti juadah ketupat dan lemang.

No Image Caption

Sebaliknya, lebih banyak iklan raya sekarang tampil dengan konsep lebih segar dan moden, tanpa mengenepikan nilai kekeluargaan yang merupakan inti pati sambutan hari raya.

Iklan-iklan ini yang sering menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia mencerminkan kepelbagaian budaya dan cara hidup, hadir dengan satu tujuan jelas iaitu merapatkan hubungan kekeluargaan, walaupun dengan pelbagai latar belakang dan cabaran dihadapi.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, iklan-iklan raya yang menonjolkan hubungan antara generasi seperti hubungan antara datuk dan cucu, ibu dan anak atau hubungan antara pasangan suami isteri sering kali menarik perhatian penonton.

Iklan-iklan ini bukan hanya mengisahkan tentang perayaan itu sendiri, tetapi lebih kepada emosi yang terjalin dalam setiap pertemuan dan perpisahan, terutama apabila keluarga besar yang dipisahkan oleh jarak dapat bersatu semula selepas sekian lama.

Keistimewaan ini menjadi semakin relevan dalam zaman serba moden di mana ramai dalam kalangan kita yang berjauhan daripada keluarga kerana tuntutan pekerjaan dan kehidupan seharian.

No Image Caption

Salah satu elemen yang semakin menonjol dalam iklan raya pada masa kini adalah penggunaan teknologi dan media sosial.

Banyak iklan mengetengahkan tema komunikasi jarak jauh di mana ahli keluarga yang berada jauh di luar negara atau di tempat jauh dapat berhubung menggunakan telefon pintar atau aplikasi panggilan video dalam usaha mengeratkan silaturahim.

Ini memberi sentuhan moden relevan dengan gaya hidup semasa tetapi dalam masa yang sama tetap mengekalkan mesej bahawa keluarga adalah keutamaan tidak kira apa jua situasi atau cabaran dihadapi.

Jalan cerita sebegini menunjukkan bahawa walaupun dunia semakin maju dan berubah, ikatan kekeluargaan erat adalah perkara yang tidak boleh dipisahkan apatah lagi dilupakan.

Inilah yang menjadikan iklan raya di televisyen masih mendapat tempat di hati penonton dan dinanti-nanti, kerana ia menyentuh emosi dan membawa kembali memori indah bersama keluarga serta mengingatkan kita akan pentingnya masa berkualiti bersama orang tersayang.

Iklan raya yang berjaya, bukan sahaja mampu menarik perhatian dengan kreativiti tinggi, tetapi juga dapat menghubungkan penonton dengan nilai-nilai murni yang terkandung dalam perayaan tersebut.

Sama ada melalui kisah menyentuh hati atau elemen-elemen visual yang menggambarkan suasana kehangatan keluarga, iklan-iklan ini terus mengingatkan kita bahawa hari raya adalah lebih daripada sekadar perayaan, tetapi juga satu peluang mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

No Image Caption

Ternyata, kreativiti seiring dengan perkembangan teknologi banyak membantu dalam menyampaikan mesej lebih berkualiti dan mudah untuk dinikmati di mana-mana.

Jika air dicincang tidak akan putus, maka iklan raya menjadi saksi bahawa sejauh mana pun kita melangkah dan secanggih mana pun gaya hidup kita, keluarga tetap menjadi paksi kebahagiaan dalam kehidupan semua.

Maklumat Penulis:

Pensyarah, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr Siti Aishah Mohammad Razi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp