Mazliham menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada salah seorang penerima pada Majlis Iftra Perdana di MMU, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Mazliham menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada salah seorang penerima pada Majlis Iftra Perdana di MMU, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

MMU salur sumbangan RM235,000 sempena Hari Raya Aidilfitri

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
18 Apr 2023 10:28am

Universiti Multimedia (MMU) menyalurkan sumbangan sebanyak RM235,000 kepada golongan memerlukan bagi meringankan beban membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sebanyak 446 penerima menerima sumbangan tersebut pada Majlis Iftar Perdana MMU 2023 yang masing-masing diadakan di Surau Al-Hidayah kampus Cyberjaya, Selangor dan Masjid Al-Irshad kampus Melaka pada 12 dan 13 April lalu.

Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, penerima bantuan raya tersebut merupakan pekerja kumpulan sokongan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang menetap di sekitar Sepang, Dengkil, Puchong dan Melaka.

“Selain itu, pelajar-pelajar dan warga MMU daripada keluarga B40 tidak dilupakan dalam pemberian sumbangan berkenaan.

“Mereka menerima sumbangan bernilai sekitar RM500 hingga RM1,500 setiap seorang atau setiap keluarga,” katanya pada Majlis Iftar Perdana MMU 2023, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Rosmawati Mohamed Zin (kanan) menyerahkan zakat kepada Izad Ismail sambil disaksikan Mazliham di MMU, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Rosmawati Mohamed Zin (kanan) menyerahkan zakat kepada Izad Ismail sambil disaksikan Mazliham di MMU, Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.

Lebih 1,000 penuntut dan warga kerja MMU bersama masyarakat setempat menyertai majlis berbuka puasa di dua lokasi berasingan.

Ia dianjurkan oleh Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia cawangan MMU (Bakit-MMU), YUM, Bahagian Sumber Manusia MMU, Surau Al-Hidayah dan Masjid Al-Irshad.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis di Cyberjaya, syarikat IX Telecom Sdn Bhd menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM43,178.85, manakala Bank Islam (M) Berhad (BIMB) menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui YUM yang merupakan Penolong Amil Zakat MAIS.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IX Telecom, Noor Mohd Helmi Nong Hadzmi, Pengarah Wilayah, Central 2 Region BIMB, Rosmawati Mohamed Zin dan Pengarah YUM, Izad Ismail.

Sumbangan Hari Raya Aidilfitri itu adalah daripada dana zakat Yayasan Universiti Multimedia (YUM) yang bermatlamat membantu golongan memerlukan meraikan perayaan tersebut.

Penuntut yang mengambil bahagian dalam program berbuka puasa pada majlis Iftar Perdana MMU di Surau Al-Hidayah.
Penuntut yang mengambil bahagian dalam program berbuka puasa pada majlis Iftar Perdana MMU di Surau Al-Hidayah.

Mazliham menambah, sumbangan yang disalurkan tersebut bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan terbabit menjelang perayaan yang bakal disambut pada minggu ini.

Beliau menjelaskan, acara tahunan itu juga adalah sebagai 'jambatan' mengeratkan hubungan antara warga universiti bersama komuniti setempat.

"MMU gembira kerana dapat menghulurkan bantuan sekali gus diharap ia dapat mengukir keceriaan kepada mereka," ujarnya.

 Elyna
Elyna

Sementara itu, Elyna Abdullah, 29, dari Kampung Chemperai, Dengkil, melahirkan rasa syukur kerana ia dapat membantu membeli baju raya dan barangan dapur untuk persiapan Syawal kelak.

"Sumbangan ini sangat besar bagi saya sekeluarga. Saya bersyukur kerana ia dapat memeriahkan lagi Aidilfitri kali ini,” katanya.

Said Razak
Said Razak

Bagi, Said Razak Syafrizal, 21, dan kakaknya, Siti Nadya, 22, pula berasa gembira kerana menerima sumbangan kewangan tersebut yang meringankan perbelanjaan ibu bapanya.

Said Razak yang merupakan penuntut Perakauanan manakala Siti Nadya menceburi bidang Rekabentuk Interface itu menyifatkan sumbangan berkenaan adalah rezeki Ramadan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp