Negaraku dan Indonesia Raya berkumandang di FDK UINSU, Medan
Hampir sedekad melakukan banyak kolaborasi akademik di Indonesia, inilah pengalaman kali pertama Profesor Madya Dr Nik Norma dan 11 orang pelajar kewartawanan, Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM) disambut dengan lagu kebangsaan Malaysia iaitu Negaraku selain lagu Indonesia Raya di Fakultas Dakwah dan Komunikasi (FDK), Universitas Islam Negeri Sumatera Utara (UINSU), Medan, Indonesia pada 20 Januari 2024 lalu.
"Ini adalah pengalaman pertama saya mendengar lagu Negaraku dimainkan selepas lagu Indonesia Raya dan melihat Jalur Gemilang dikibarkan bersebelahan Sang Saka Merah Putih di sini. Saya rasa sangat dihormati dan bangga. Terima kasih Prof Hasan Sazali, Dekan FDK, UINSU dan rakan-rakan," ujar Dr Nik Norma ketika memberi ucapan alu-aluan.
Dialog antara pelajar kewartawanan PPK, USM dengan universiti di Indonesia dilaksanakan setiap tahun untuk memberikan pendedahan tentang ilmu komunikasi dan media antarabangsa. Kali ini kolaborasi dilakukan dengan FDK, UINSU dengan fokus mengenai “Literasi Media dan Pilihan Raya”. Menariknya kami diwakili oleh tiga orang rakan yang membahasnya mengenai pembingkaian berita UNDI18 dalam akhbar di Malaysia serta corak komunikasi politik melalui Tiktok dan secara visual yang terkait dengan literasi media.
Manakala pelajar FDK, UINSU pula mengupas hal ‘black campaign’ dalam Pemilu 2024 Indonesia, penggunaan sosial media sebagai alat pemujukan kempen dan pengundi muda. Betapa hujahan kami sebagai penyelidik muda sangat penting untuk diambil kira dan dipupuk kerana kami bakal mewarnai masa depan kedua negara.
Seusai dialog pelajar, panel ilmiah pensyarah juga diadakan bagi membincang lebih lanjut berkenaan “Literasi Media di Malaysia dan Indonesia”. Intipati diskusi tertumpu kepada penggunaan algoritma dan kepentingan literasi media bagi memahami isu penting negara seperti perubahan iklim dan politik.
Perihal literasi media juga dibincangkan di Sekolah Tinggi Ilmu Komunikasi – Pembangunan (STIK-P), sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Medan.
Format dialog pelajar yang membincangkan topik “Literasi Media dan Pilihan Raya” berbeza dari FDK, UINSU. Pelajar bebas memberikan pendapat mengenai apa juga isu berkaitan literasi media dan pilihanraya. Mereka juga digalakkan bertanya soalan antara satu sama lain untuk bertukar pendapat. Format ala debat secara beramai-ramai ini sangat meriah dan dilakukan dalam keadaan santai walaupun membincangkan hal yang agak berat. Kami menerima soalan-soalan yang menarik dari rakan-rakan STIK-P antaranya tentang penglibatan golongan belia dalam pilihan raya. Di samping itu, kami turut belajar tentang budaya dan bahasa Indonesia yang dikongsikan oleh mereka.
Sungguh baru kami sedari betapa penting untuk faham budaya kedua negara bagi memahami hubungan antaranya. Justeru kami bersyukur berpeluang melawat Istana Maimoon, sebuah istana warisan Kesultanan Melayu Deli yang masih utuh walaupun telah berusia lebih dari 120 tahun. Perkaitannya dengan Kesultanan Melayu di Malaysia sangat dekat. Banyak kesan dan cerita penjajahan yang juga hampir sama dengan negara kita. Nilai reka bentuk Melayu dan Eropah istana ini siap dibina pada 1888 semasa pemerintahan Sultan Makmun Al Rasyid Perkasa Alamsyah.
Begitu juga ketika kami di bawa ke pasar terbuka, Pajak Ikan. Suasananya saling tidak tumpah seperti kebanyakan pasar terbuka di Malaysia. Kami juga disapa oleh para peniaga yang antaranya menggunakan bahasa Melayu kerana mereka adalah dari keturunan Melayu di Medan. Ada rakan kami disapa oleh peniaga menggunakan bahasa Kelantan kerana si peniaga pernah bekerja di Kelantan selama 8 tahun. Kami cuba tawar-menawar dengan menggunakan pendekatan budaya masing-masing. Ada yang berjaya, ada yang tidak berjaya
Pengalaman di Medan, Indonesia tidak akan kami lupakan. Banyak ilmu yang diperoleh di samping dapat berkenalan dengan rakan-rakan dari tempat yang dilawati. Lawatan ilmiah ini juga telah membuka mata kami tentang kepentingan untuk menghargai kemudahan yang disediakan oleh pihak yang bertanggungjawab terutamanya di universiti. Kami juga sedar bahawa sikap meraikan tetamu adalah amalan penting yang dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain.