Produk pemula mampu menjerat pengguna kepada vape dan dadah mula popular dalam kalangan pelajar, selain dijual dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10.
Produk pemula mampu menjerat pengguna kepada vape dan dadah mula popular dalam kalangan pelajar, selain dijual dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10.

Energy stick: Salur aduan ke Sispaa KPM

08 Feb 2024 12:49pm
A
A
A

Orang ramai diminta menyalurkan aduan mengenai penggunaan produk penyedut hidung atau energy stick dalam kalangan pelajar di laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ia penting bagi memastikan kementerian dapat mengambil langkah sewajarnya berhubung perkara itu sebelum keadaan menjadi lebih mudarat.

"Bagaimanapun, setakat ini KPM masih belum menerima sebarang aduan melibatkan sekolah rendah dan menengah, tetapi sekiranya ada kita akan ambil tindakan tegas bagi memastikan kesihatan dan kebajikan pelajar terjamin.

"Kita mahu orang ramai khususnya pentadbiran setiap sekolah memantau perkara ini dan jika ada berlaku apa-apa kes, mereka hendaklah terus melaporkan kepada KPM," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Negeri Johor 2024 di Dewan Seminar Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor di sini, Khamis.

Beliau berkata, KPM mempunyai pasukan untuk memantau aduan yang diterima dan setiap aduan akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet.

Katanya, selain laman web Sispaa iaitu https://moe.spab.gov.my/eApps/system/index.do aduan berhubung perkara itu juga boleh disalurkan terus kepada JPN dan juga Pejabat Pendidikan Daerah.

Kah Woh (duduk, tengah) dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah) Anuar Sukiran (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama pegawai pendidikan daerah yang menerima replika cek BAP pada Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan BAP 2024 peringkat negeri di JPNJ, Khamis.
Kah Woh (duduk, tengah) dan Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah) Anuar Sukiran (duduk, dua dari kanan) bergambar bersama pegawai pendidikan daerah yang menerima replika cek BAP pada Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan BAP 2024 peringkat negeri di JPNJ, Khamis.

Kah Woh berkata, KPM turut mengalu-alukan tindakan penguatkuasaan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap peniaga yang menjual produk tersebut terutamanya kepada pelajar sekolah.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengakui pihaknya menerima aduan dan akan mengambil tindakan segera berhubung produk itu yang giat dijual dan dipromosikan menerusi media sosial.

Public Health Malaysia (PHM) sebelum ini juga memaklumkan produk pemula yang boleh menjerat pengguna kepada vape dan dadah itu adalah terkini di pasaran dan mula popular dalam kalangan pelajar selain dijual dengan harga serendah RM2.50 hingga RM10.

Mengulas mengenai pemberian BAP, Kah Woh berkata, KPM memperuntukkan sebanyak RM78.5 juta BAP kepada 523,342 pelajar di 1,192 buah sekolah seluruh Johor.

"Selain BAP, KPM turut menyediakan pelbagai jenis bantuan untuk membantu murid dan pelajar termasuk Bantuan Makanan Prasekolah (BMP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), peluasan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) dan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP).

"Kesemua bantuan ini membuktikan komitmen kami dalam menangani isu kemiskinan dan pada masa sama menoktahkan keciciran dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok