MMU sumbangan Smart TV, jadikan PdP lebih interaktif

AZLEENDA SAHALUDIN
02 Mar 2023 02:48pm
A
A
A

Kemunculan teknologi baru dalam dunia pendidikan hari ini seperti Smart Classroom juga Smart TV dilihat membantu menjadikan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) lebih interaktif serta menyeronokkan dalam kalangan pelajar.

Dalam usaha melihat lebih ramai pelajar mahir pembelajaran digital, Universiti Multimedia (MMU) telah menyumbang Smart TV kepada tiga buah sekolah di Melaka dan Johor baru-baru ini.

Sumbangan bernilai RM15,675 itu disampaikan oleh President MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud kepada pusat sumber Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum dan Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Syah di Melaka serta SM Sains Muar di Johor.

Majlis penyerahan sumbangan wakaf Smart TV di dua buah sekolah di Melaka turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Nasaruddin Rahmat.

Mazliham memberitahu, sumbangan itu dijangka memberi impak dan manfaat besar kepada proses PdP dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pemberian Smart TV kepada pusat sumber sekolah ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan khususnya kepada warga pendidik dalam mengaplikasikan aktiviti pengajaran bersama pelajar dengan lebih mudah, interaktif dan menarik.

“Malah pelajar juga lebih selesa dan seronok menjalani proses pembelajaran gaya baru serta terkini,” ujarnya.

Sumbangan Smart TV berkenaan dilaksanakan melalui Projek Dana Wakaf Ilmu oleh Yayasan Universiti Multimedia (YUM) selepas dilantik Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) untuk mengutip dan menguruskan wakaf.

Artikel Berkaitan:

Projek tersebut telah berjaya mengumpul dana wakaf daripada kakitangan Telekom Malaysia (TM) Berhad, MMU dan orang ramai.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok