Raja Muhammad Faiz (tengah) bersama kedua-dua ibu bapanya seusai menerima Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen MMU 2023.
Raja Muhammad Faiz (tengah) bersama kedua-dua ibu bapanya seusai menerima Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen MMU 2023.

Dua graduan raih anugerah tertinggi Konvokesyen MMU 2023

ROSHLAWATY MD RAIEH
05 Dec 2023 11:32am
A
A
A

Cemerlang akademik dan aktif dalam kokurikulum merupakan faktor utama graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Universiti Multimedia (MMU), Raja Muhammad Faiz Raja Ismail dinobatkan Anugerah Presiden pada Majlis Konvokesyen MMU 2023, Isnin.

Raja Muhammad Faiz mengakui amat terkejut apabila diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi MMU di majlis itu.

“Terkejut campur gembira dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada semua pihak terutama ibu bapa, ahli keluarga, pensyarah dan rakan-rakan yang memainkan peranan penting sepanjang perjalanan akademik saya di MMU,” katanya yang mendapat purata gred kumulatif (CGPA) 3.99 di akhir pengajian.

Selain Anugerah Presiden, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini turut menerima Anugerah Permata iaitu pengiktirafan sebagai mahasiswa terbaik bagi Fakulti Pengurusan.

“Rezeki yang diterima datangnya daripada ALLAH SWT. Saya benar-benar bersyukur,” ujarnya yang memegang pelbagai jawatan di MMU, antaranya Pengasas dan Naib Presiden Kelab Bursa Young Investor Club serta Presiden Persatuan Fakulti Pengurusan (FOMS).

Raja Muhammad Faiz menerima Anugerah Presiden daripada Zaki pada konvokesyen universiti itu, Isnin lalu.
Raja Muhammad Faiz menerima Anugerah Presiden daripada Zaki pada konvokesyen universiti itu, Isnin lalu.

Selain mengumumkan penerima Anugerah Presiden, Majlis Konvokesyen MMU 2023 turut menyampaikan sebuah lagi anugerah tertinggi MMU iaitu Anugerah Canselor.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Pengkhususan Telekomunikasi, Lim Min Ying dipilih berikutan aktif dalam kokurikulum termasuk mewakili Malaysia dalam beberapa acara antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Min Ying (tengah) diumum penerima Anugerah Canselor dalam Majlis Konvokesyen MMU 2023. Turut hadir meraikan kejayaannya adalah ibu dan bapanya.
Min Ying (tengah) diumum penerima Anugerah Canselor dalam Majlis Konvokesyen MMU 2023. Turut hadir meraikan kejayaannya adalah ibu dan bapanya.

Min Ying yang bergraduasi dengan CGPA 3.95, melahirkan rasa terharu dengan penganugerahan itu.

Beliau bertekad untuk terus aktif dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, keusahawanan dan kesukarelawan demi mengharumkan nama universiti dan negara.

Lebih 3,400 graduan diraikan

Majlis Konvokesyen MMU 2023 yang bermula 2 hingga 4 Disember lalu, meraikan seramai 3,477 graduan peringkat diploma (951), ijazah sarjana muda (2,297), ijazah sarjana (198) dan doktor falsafah (PhD) seramai 31 orang.

Penganugerahan skrol kepada graduan disampaikan oleh Canselor MMU, Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi dan Pro-Canselor MMU, Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid.

Pada majlis gilang gemilang itu, beberapa individu dikurniakan Anugerah Kehormat atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada universiti tersebut.

Antaranya mantan Ketua Hakim Malaysia, Tun Md Raus Shari yang dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang; Pengerusi Maybank, Tan Sri Datuk Sri Zamzamzairani Mohd Isa (Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan); pelakon veteran negara, Abdul Rasip Yahya atau Mat Sentol (Anugerah Kehormat Permata Dunia) dan ramai lagi.

Sementara itu, Zaki mengucapkan tahniah kepada graduan dan keluarga di atas pencapaian menyempurnakan pengajian masing-masing sekali gus menyemarakkan produktiviti dan memajukan ekonomi digital Malaysia.

"Peranan anda sebagai perintis inovasi adalah penting dalam membentuk landskap masyarakat kita yang semakin berkembang," ungkapnya.

Mazliham dalam ucapannya pula menyatakan bahawa MMU berbangga dengan kejayaan semua graduan yang merangkumi pelbagai disiplin seperti teknologi maklumat, sains komputer, multimedia kreatif dan lain-lain.

"Ini adalah kejayaan besar mereka dan tahniah atas ketabahan mengharungi cabaran dalam pengajian sebelum ini,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok