Mohamad Hadif diumumkan sebagai penerima anugerah Top in Malaysia dalam subjek Perakaunan bagi peperiksaan AS Level Mei/Jun 2025.
Mohamad Hadif diumumkan sebagai penerima anugerah Top in Malaysia dalam subjek Perakaunan bagi peperiksaan AS Level Mei/Jun 2025.

Mohamad Hadif muncul pelajar terbaik subjek Perakaunan di Malaysia! 'Tahniah anak muda'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
26 Nov 2025 04:54pm

Subjek Perakaunan bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan ketelitian, daya analisis dan ketajaman minda untuk menguasai setiap konsep dan prinsip.

Namun, bagi pelajar Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan, Mohamad Hadif Mohamad Rosli, kesukaran dalam mata pelajaran itu dijadikan cabaran untuk mencipta kejayaan.

Baginya, usaha berterusan dan disiplin diri adalah kunci utama bagi mereka yang mahu mencapai kecemerlangan.

Hasil daripada usaha tanpa henti itu, pelajar Tahun Dua Program A-Level Australia, Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan diumumkan sebagai penerima anugerah Top in Malaysia dalam subjek Perakaunan bagi peperiksaan AS Level Mei/Jun 2025.

Mohamad Hadif adalah salah seorang daripada 339 pelajar yang menerima pengiktirafan dalam Outstanding Cambridge Learner Awards di Dwi Emas International School baru-baru ini.

Kejayaan anak genius ini bukan sahaja membanggakan keluarga, malah memberi inspirasi kepada seluruh warga pelajar dan pendidik bahawa setiap cabaran boleh diubah menjadi peluang untuk berjaya.

Untuk info, sejarah Kolej MARA Seremban bermula sebagai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pertama di Malaysia pada tahun 1972.

Institusi ini telah melalui beberapa penjenamaan sebelum menjadi Kolej MARA Seremban secara rasmi pada 3 Februari 1994.

Sebagai kolej pra-universiti yang diuruskan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), institusi ini menawarkan pelbagai program seperti Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia, GCE A-Levels serta program lain termasuk Diploma International Baccalaureate.

Artikel Berkaitan:

Kolej ini telah berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang, antaranya Puteri Irdina Sofea Jazlan Ariff, graduan The University of Edinburgh, Scotland, yang meraih Kepujian Kelas Pertama dalam jurusan MEng (Hons) Electronics and Electrical Engineering.

 

 

Ringkasan AI

  • Subjek Perakaunan memerlukan ketelitian, daya analisis dan ketajaman minda
  • Mohamad Hadif Mohamad Rosli dari Kolej MARA Seremban mencipta kejayaan dalam subjek Perakaunan
  • Usaha berterusan dan disiplin diri adalah kunci utama kejayaan
  • Mohamad Hadif diumumkan sebagai penerima anugerah Top in Malaysia dalam subjek Perakaunan bagi peperiksaan AS Level
  • Kolej MARA Seremban menawarkan pelbagai program pra-universiti dan telah melahirkan ramai pelajar cemerlang
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp