Sebahagian barisan MPP yang teruja kerana dapat menimba pelbagai ilmu pengurusan media daripada PKK.
Sebahagian barisan MPP yang teruja kerana dapat menimba pelbagai ilmu pengurusan media daripada PKK.

MPP UMS tingkat ilmu komunikasi korporat bersama PKK

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
13 Feb 2023 03:41pm

Bagi menimba ilmu berkaitan pengurusan media yang cepat dan efektif, barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Komunikasi Korporat (PKK), baru-baru ini.

Selain memperoleh pengetahuan tentang pengurusan media, rombongan yang diketuai Timbalan Presiden MPP, Teoh Kok Teo juga bertujuan mengetahui beberapa elemen asas pencitraan seperti teknik penggambaran dan grafik.

Malah, mereka juga menimba ilmu asas hubungan awam, pengurusan protokol, pengurusan majlis, cara membuat pubilisiti dan sebagainya daripada PKK yang diketuai Dr Jakaria Dasan dan Timbalan Pengarahnya,Ts Dr Nor Qhairul Izzreen Mohd Noor.

Rombongan tersebut turut disertai Ketua Jabatan Multimedia, Publisiti dan Teknologi Maklumat MPP, Dale Jeffrey Gilimon dan ahlinya, Riethanelia Usun Richard; Ketua Jabatan Hal Ehwal Akademik, Muhammad Naqiuddin Mohd Nazri; wakil Jabatan Kebajikan Mahasiswa, Muhammad Dhan Dhan Farsaudi dan wakil Jabatan Pembangunan Mahasiswa dan Kompetensi MPP, Amirul Najmi Md Azmi.

Sementara itu, Jakaria berkata, pertemuan antara MPP dan PKK sangat penting dalam memberi panduan awal kepada mereka untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab berkaitan komunikasi dan organisasi.

“Dalam ilmu komunikasi korporat yang menitikberatkan hubungan awam, setiap organisasi sekurang-kurangnya perlu melaksanakan dua prinsip asas iaitu fungsi pengurusan dan pengurusan reputasi.

“Fungsi pengurusan merujuk kepada pentadbiran sumber manusia yang harmoni dalam kalangan kakitangan, pihak awam atau pemegang taruh.

“Manakala pengurusan reputasi berkaitan pengurusan krisis dan hebahan citra yang meningkatkan kedudukan sesebuah organisasi,” ujarnya yang juga Pensyarah Kursus Komunikasi Korporat, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Profesor Madya Dr Raman Noordin berharap agar barisan MPP yang baharu ditubuhkan itu dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih cekap.

“Kerjasama strategik yang dirancang dengan PKK merupakan satu lembaran baharu yang boleh meningkatkan lagi keberkesanan MPP,” ujarnya melalui sesi pertemuan tersebut.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp