Persidangan Pendidikan Tinggi Antarabangsa INTI (IHEC) 2023 yang dihadiri wakil 40 IPT tempatan dan 10 wakil IPT dari luar negara di Sepang, Selangor, baru-baru ini.
Persidangan Pendidikan Tinggi Antarabangsa INTI (IHEC) 2023 yang dihadiri wakil 40 IPT tempatan dan 10 wakil IPT dari luar negara di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

MQA komited terajui pendidikan tinggi masa depan

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
11 Apr 2023 01:58pm
A
A
A

Institut pendidikan tinggi (IPT) perlu menawarkan program pengajian yang sentiasa relevan dengan keperluan semasa sejajar perubahan pantas kehendak industri hari ini.

Menyedari hakikat itu, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terus komited memperkasa inisiatif pendidikan fleksibel yang turut menyokong agenda pengajian sepanjang hayat (PSH) dalam usaha menggalakkan masyarakat di negara ini meningkatkan kelayakan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya sentiasa menguar-uarkan inisiatif pendidikan fleksibel yang dilihat sebagai pendidikan masa depan yang kini mendapat sambutan hangat di peringkat global terutama golongan yang berada dalam pasaran kerja.

Katanya, Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan kursus pendek bersifat 'micro-credentials' ialah dua inisiatif pendidikan fleksibel yang memberi laluan berbeza kepada masyarakat untuk menyambung pelajaran selain kaedah pengajian konvensional.

"Jika diperhatikan, kini banyak pekerjaan baharu yang muncul lebih-lebih lagi selepas era revolusi industri 4.0 dan apabila pandemik Covid-19 melanda dunia.

"Jussteru diharapkan IPT lebih proaktif dan kreatif meneroka pasaran baharu sekali gus menawarkan program yang relevan dengannya.

"Untuk pengetahuan, sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 36,653 permohonan APEL untuk APEL.A, APEL.C dan APEL.Q dicatatkan oleh MQA, jumlah ini dijangka terus meningkat seiring dengan keperluan tenaga kerja di negara ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Pendidikan Tinggi Antarabangsa INTI (IHEC) 2023 yang dihadiri wakil 40 IPT tempatan dan 10 wakil IPT dari luar negara di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Canselor INTI International University, Dr Joseph Lee; Naib Canselor Manipal International University Malaysia, Profesor Dr. Jason Fitzsimmons; Naib Canselor Nilai University, Profesor Datuk Dr Azhar Ismail; Rektor COMSATS University Islamabad, Profesor Dr Muhammad T Afzal; Rektor Universiti YARSI Indonesia, Profesor Dr Fasli Jalal dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Muhammad Kassim.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, penawaran kursus 'micro-credentials' daripada program yang sudah mendapat akreditasi atau secara 'stand-alone' menjadi satu daripada inisiatif penjanaan pendapatan buat IPT.

Di peringkat global, katanya, Malaysia menjadi antara negara tertinggi untuk carian berkenaan micro-credentials di Google Trends.

Beliau berkata, hal itu membuktikan pengajian tinggi di negara ini sudah mencapai standard yang baik di peringkat global apabila menjadi antara rujukan paling utama berkaitan micro-credentials.

"Kelebihan ini perlu dimanfaatkan oleh IPT tempatan untuk menawarkan pengajian tinggi yang bersifat lebih fleksibel bukan hanya untuk pasaran pelajar di negara ini, malah untuk masyarakat antarabangsa.

"Sekiranya dapat dijayakan, usaha ini akan membantu merealisasikan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok